Sabah Cadang Pendidikan Percuma di IPT Milik Kerajaan Negeri
Kerajaan Negeri bercadang memperkenalkan pendidikan percuma kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di institusi milik kerajaan negeri iaitu University College Yayasan Sabah (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS). Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan juga sedang meneliti pelaksanaan dasar subsidi pinjaman pendidikan, khususnya melibatkan pinjaman PTPTN dan Yayasan Sabah, bagi meringankan beban hutang pelajar.
“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 peminjam. Saya yakin dasar ini praktikal dan mampu dilaksanakan seiring dengan kedudukan kewangan negeri pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Mahasiswa Sabah 2025 pada 21 September 2025 di Dewan KDCA, dihadiri kira-kira 1,000 mahasiswa.
Menurut Hajiji, pendidikan dan pembangunan modal insan menjadi tumpuan utama kerajaan di bawah pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), dengan lebih RM1.3 bilion telah dibelanjakan sejak 2021 – jumlah tertinggi dalam sejarah Sabah.

Antara inisiatif pendidikan yang diperkenalkan termasuk:
- Bantuan one-off RM600 kepada pelajar Sabah yang menyambung pengajian ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan menerusi program GRS-SubFly.
- Bantuan RM300 melalui inisiatif SENTOSA untuk pelajar dalam negeri.
- Peruntukan biasiswa tertinggi sejak merdeka, berjumlah RM136 juta pada tahun 2025.
- Penubuhan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi membantu pelajar kurang berkemampuan.
“Kesemua ini dapat dilaksanakan kerana kerajaan negeri berjaya meningkatkan hasil negeri kepada hampir RM7 bilion, rekod tertinggi dalam sejarah,” jelas beliau.

Selain pendidikan, kerajaan juga melaksanakan program kebajikan rakyat termasuk Rumah Mesra SMJ untuk golongan miskin tegar serta bantuan bulanan RM300 selama setahun kepada 100,000 penerima melalui inisiatif SYUKUR.
Hajiji turut menekankan kepentingan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) sebagai penentu kesinambungan pembangunan. Katanya, rakyat, khususnya 970,000 pengundi muda, perlu membuat pilihan bijak agar pembangunan Sabah dapat diteruskan di bawah kerajaan GRS.“PRN kali ini adalah peluang keemasan untuk memilih kerajaan yang kuat, stabil dan didominasi oleh parti lokal. Jangan lagi ulangi kesilapan lalu yang menyebabkan pembangunan terbengkalai,” katanya.
Hajiji menambah, Sabah kini berada di landasan ekonomi kukuh dengan mencatat kemasukan pelaburan ketiga tertinggi di Malaysia pada suku pertama 2025, sekali gus menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran negeri daripada 8.2% pada 2020 kepada 6.2% pada suku kedua 2025.