RM90 Juta Bantuan untuk Sekolah Mubaligh, Swasta dan Badan Keagamaan Bukan Islam Tahun Depan

berita-sabahnewsSept 2025

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM70 juta bantuan kewangan kepada sekolah mubaligh dan swasta, kuil serta badan keagamaan bukan Islam tahun ini, dengan jumlah itu akan ditingkatkan kepada RM90 juta mulai tahun depan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau turut mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC), sekali gus membolehkan pemegang sijil tersebut memohon biasiswa negeri dan melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.


“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita memastikan semua komuniti tanpa mengira kaum atau agama mendapat perlindungan yang adil dan saksama,” katanya pada Majlis Ramah Mesra bersama masyarakat Cina, sekolah mubaligh, sekolah menengah persendirian Cina serta badan keagamaan bukan Islam pada 22 September 2025 di Dewan Hakka, Kota Kinabalu.


Selain peruntukan RM70 juta, Hajiji berkata pelbagai bantuan tambahan juga telah disalurkan melalui Peruntukan Khas Ketua Menteri, termasuk kepada sekolah Cina, persatuan kebudayaan, sambutan Tahun Baru Cina, Pesta Bot Naga, gereja dan NGO lain.

Dalam ucapannya, Hajiji turut menyentuh isu bekalan air yang masih membelenggu beberapa daerah di Sabah. Beliau menjelaskan, kerajaan kini melaksanakan 18 projek pembangunan bekalan air dengan kos keseluruhan RM1.2 bilion, termasuk Loji Rawatan Air Kogopon (RM365 juta) di Papar yang dijangka siap 2026 serta Empangan Cinta Mata (RM300 juta) di Tawau yang dijangka siap 2027.

“Insya-Allah, dengan pelaksanaan projek ini, bekalan air akan pulih sepenuhnya menjelang tahun depan,” katanya sambil menambah bahawa projek jangka panjang Skim Bekalan Air Ulu Padas akan menyediakan kapasiti sehingga 6,000 MLD menjelang 2030.

Hajiji berkata, di sebalik cabaran tersebut, Sabah kini berada di landasan pembangunan yang betul melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan pertumbuhan ekonomi kembali positif, peningkatan pelaburan dan pemulihan sektor pelancongan.