Pelantikan Timbalan Ketua Menteri Cina
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjanji akan melantik seorang wakil rakyat berketurunan Cina sebagai Timbalan Ketua Menteri sekiranya kembali membentuk kerajaan negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. “Jika kerajaan ini sekali lagi diberi mandat dan lebih ramai pemimpin Cina dipilih sebagai wakil rakyat, saya akan melantik salah seorang daripada mereka ke jawatan Timbalan Ketua Menteri,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Mesra bersama masyarakat Cina, sekolah mubaligh, sekolah Cina swasta serta badan-badan keagamaan bukan Islam pada 22 September 2025 di Dewan Hakka, Kota Kinabalu. Menurut beliau, masyarakat Cina memainkan peranan besar dalam pembangunan dan kemajuan Sabah.
“Tanpa sumbangan anda semua, ekonomi negeri ini tidak akan berkembang. Malah, masyarakat Cina telah banyak menyumbang dalam pelbagai bidang. Dalam sektor swasta, usahawan dan peniaga Cina berada di barisan hadapan, manakala dalam perkhidmatan awam negeri, ramai pegawai Cina memegang jawatan tinggi di kementerian, jabatan dan GLC,” katanya sambil menegaskan pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan masyarakat tersebut.
Hajiji turut menjelaskan bahawa bagi memperkukuh pentadbiran negeri, beliau telah melantik beberapa penasihat yang pakar dalam bidang minyak dan gas, kewangan, pelaburan serta perundangan — hampir kesemuanya daripada kalangan masyarakat Cina. Terbaharu, Tan Sri David Wong Dak Wah, bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, dilantik mengetuai Sabah Law Reform Advisory Council (SLRAC), sebuah badan bebas yang berperanan memperkukuh sistem perundangan negeri.
“Majlis ini akan menilai undang-undang lama yang sudah lapuk, mengemukakan cadangan reformasi yang relevan, adil serta mesra rakyat, supaya pentadbiran negeri selari dengan keperluan semasa. Inilah cara kita meningkatkan tadbir urus dan memastikan Sabah kekal progresif serta dihormati,” katanya.