Integriti Asas Penting Bagi Generasi Muda

berita-sabahnewsSept 2025
Hajiji melalukan gimik pelancaran Kedai Jujur 2025.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa generasi muda perlu dibekalkan dengan pendidikan moral berasaskan integriti kerana mereka bakal menjadi pemimpin yang menentukan hala tuju negara pada masa depan. Menurutnya, nilai kejujuran, amanah dan tanggungjawab mesti dipupuk sejak kecil di rumah, diperkukuh di sekolah, serta diamalkan dalam kehidupan seharian. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kedai Jujur 2025 di SK Mutiara, Kota Kinabalu pada 23 September 2025. Hajiji menyifatkan program itu sebagai wadah terbaik untuk pelajar mempraktikkan integriti dalam kehidupan harian serta sebagai persediaan menghadapi cabaran dunia luar.

Katanya lagi, usaha membentuk anak-anak berintegriti bukan hanya tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi perlu digalas bersama masyarakat, institusi pendidikan dan sektor korporat. “Konsep Kedai Jujur boleh menjadi benteng awal untuk menghalang salah laku dalam kalangan pelajar,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada SPRM, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan SuriaGroup atas kerjasama menganjurkan program tersebut.

Hajiji menjelaskan, konsep Kedai Jujur berakar daripada amalan tradisi masyarakat Sabah yang menjalankan gerai tanpa penjaga dengan berteraskan kejujuran pembeli. Budaya ini, katanya, wajar diteruskan agar generasi baharu menjiwai nilai integriti. Beliau turut memuji SuriaGroup sebagai perintis program tersebut dan berharap lebih banyak syarikat tampil menyumbang dalam membudayakan integriti di kalangan anak-anak.

Program Kedai Jujur 2025 dilaksanakan di 10 sekolah di Sabah termasuk Kota Kinabalu, Kudat, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu, dengan SK Mutiara dipilih sebagai lokasi pelancaran rasmi. Pada majlis itu, Hajiji turut mengumumkan peruntukan khas RM20,000 untuk aktiviti sekolah berkenaan.