SPP Tempatkan 1,000 Guru Baharu di Sekolah Sabah
Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menempatkan seramai 1,000 guru baharu di sekolah-sekolah di Sabah sepanjang tahun 2025, melibatkan 315 guru sekolah rendah dan 685 guru sekolah menengah. Pengerusinya, Dato’ Haji Adzman Talib, berkata penempatan itu sebahagian daripada pengisian 21,348 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) tahun 2025 di seluruh negara seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Sehingga 30 Jun 2025, kadar pengisian jawatan guru di Sabah mencapai 97.78 peratus, dengan 44,058 guru ditempatkan berbanding 45,057 jawatan yang diluluskan di 1,298 sekolah bawah KPM,” katanya semasa taklimat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, pada 2 Oktober 2025 di Menara Kinabalu.
Adzman berkata walaupun kadar pengisian hampir penuh, Sabah masih berdepan kekurangan guru, terutama berikutan peningkatan jumlah guru yang bersara awal. Pada 2024, sebanyak 12,607 guru di seluruh negara memilih bersara awal berbanding 13,192 orang pada 2023. Di Sabah sahaja, 947 kes dicatatkan tahun lalu berbanding 813 tahun sebelumnya.
Beliau menjelaskan, antara faktor utama ialah beban tugas pentadbiran serta tuntutan digitalisasi yang bertindih. “SPP sedang bekerjasama dengan KPM untuk mencari penyelesaian menyeluruh bagi menjamin kelestarian tenaga pengajar,” katanya.
Dalam pertemuan itu, Adzman turut memuji usaha Kerajaan Negeri memperkukuh kecemerlangan pendidikan di Sabah, manakala Hajiji merakamkan penghargaan atas peranan SPP menempatkan guru berwibawa di negeri ini.
Turut hadir dalam kunjungan hormat itu ialah Anggota SPP dari Sabah, Datin Seri Panglima Datuk Dr Hajah Nuinda Haji Alias; Setiausaha SPP, Encik Md Radzi Hassim; dan Setiausaha Bahagian Urusetia Cawangan Sabah, Puan Intan Zainab Mohd Bustan.
Dalam program berasingan, Hajiji turut menyaksikan demonstrasi inovasi pendidikan digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) oleh syarikat tempatan Samasama Works Sdn Bhd. Sebanyak 100 unit awal peranti pembelajaran AI itu akan diedarkan ke sekolah-sekolah di seluruh Sabah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri. Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Raisin Saidin serta pegawai kanan berkaitan.




