Jesselton Docklands Pacu Transformasi Ekonomi Sabah

berita-sabahnewsOctober 2025

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yakin projek pembangunan Jesselton Docklands bernilai RM4.2 bilion di kawasan tepi laut Kota Kinabalu bakal menjadi pemacu perubahan sebenar ekonomi Sabah. Projek pembangunan di atas tanah seluas 35 ekar — tapak Pelabuhan Kota Kinabalu lama — dijangka menjadi pemangkin kepada penciptaan pekerjaan, menarik pelaburan, merangsang sektor pelancongan dan mewujudkan limpahan ekonomi positif kepada pelbagai sektor termasuk pembinaan, peruncitan, makanan dan minuman serta perkhidmatan tempatan.

“Ia akan mengubah landskap tepi laut bandar ini menjadi kawasan moden, ceria dan mampan. Majlis pecah tanah Jesselton Docklands menandakan satu lagi pencapaian penting dalam transformasi berterusan tepi laut bersejarah Kota Kinabalu,” katanya pada majlis pecah tanah projek itu pada 3 Oktober 2025 di Jesselton Docklands Live Lab, Kota Kinabalu.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Suria Capital Holdings Berhad, melalui anak syarikat milik penuhnya Sabah Ports Sdn Bhd, atas komitmen dan visi strategik dalam membuka potensi kawasan pelabuhan ikonik itu.

“Sejak pemindahan operasi kontena ke Teluk Sapangar pada 2007, Suria terus memanfaatkan peluang besar yang ditawarkan kawasan ini. Apa yang dahulunya pelabuhan kini berkembang menjadi pusat perdagangan, pelancongan, budaya dan gaya hidup yang pesat,” katanya.

Transformasi itu turut melibatkan pemindahan terminal penumpang utama ke South Jetty sementara, bagi memberi laluan kepada pembinaan terminal feri bertaraf antarabangsa yang lebih moden dan selesa. “Terminal baharu ini akan meningkatkan keselesaan, keselamatan dan kecekapan pengembara, serta melengkapi Terminal Persiaran Antarabangsa di bawah pelan induk Jesselton Docklands,” katanya sambil menambah ia akan memperkukuh kedudukan Kota Kinabalu sebagai pintu masuk utama persiaran dan pelancongan dunia.

Projek Jesselton Docklands, dibangunkan bersama BEDI Development, bakal menampilkan terminal persiaran antarabangsa khusus, hotel, kediaman, presint budaya dan zon komersial. Perkembangan tepi laut ini turut disokong oleh fasa kedua pembangunan Jesselton Quay hasil usaha sama Suria dengan SBC Corporation Berhad.

Secara keseluruhan, inisiatif ini akan mewujudkan bandar tepi laut moden yang dilengkapi dengan aset utama seperti Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Pusat Konvensyen Kota Kinabalu (KKCC), dan Terminal Persiaran Antarabangsa pada masa hadapan. Menurut Hajiji, kerjasama antara syarikat berkaitan kerajaan seperti Suria dan sektor swasta mencerminkan semangat perkongsian awam-swasta (PPP) yang menggabungkan aset negeri dan modal swasta bagi menjana pertumbuhan mampan serta berimpak tinggi.

Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.