Dua Inisiatif Baharu Perkukuh Pembangunan Belia Sabah

berita-sabahnewsOctober 2025
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama peserta Felo SMJ yang menghadiri Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mengumumkan dua inisiatif baharu bagi memperkukuh program pembangunan belia di Sabah agar lebih berimpak besar dan inklusif.

Dua program yang akan dilaksanakan bersama Kementerian Belia dan Sukan Sabah serta Majlis Belia Sabah ialah:

  • Majlis Tindakan Belia Sabah – Sebuah badan pelaksana yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dan kesejahteraan belia secara inklusif dan bersepadu.
  • Pemikir Muda Ketua Menteri – Platform baharu bagi anak muda menyalurkan pandangan, idea serta aspirasi mereka secara langsung kepada kerajaan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor (duduk, tengah) bergambar bersama peserta Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda Sabah 2025.

“Anak muda Sabah perlu bersedia menyampaikan idea dan pandangan mereka kepada kerajaan untuk dilaksanakan demi manfaat belia dan rakyat Sabah keseluruhannya,” katanya pada 11 Oktober 2025, semasa Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Beliau berkata, Tamu Suara 360 menjadi bukti bahawa kerajaan serius mendengar suara generasi muda yang memerlukan lebih banyak peluang sesuai dengan potensi mereka. “Tamu Suara 360 ini bukan sekadar program, tetapi wahana keyakinan bahawa suara belia tidak berakhir di sini sahaja. Setiap kritikan, cadangan, dan impian akan diangkat, diperhalusi, diterjemah dan dipertahankan hingga menjadi dasar,” katanya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bergambar bersama para penerima geran Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (Syabas).

Ketua Menteri turut menjelaskan usaha kerajaan dalam pembangunan modal insan dan pendidikan, termasuk perbelanjaan RM1.3 bilion dalam empat tahun lalu untuk pelbagai bantuan dan biasiswa.

“Tahun ini seramai 12,000 pelajar menerima biasiswa – 5,000 Bumiputera Islam, 5,000 Bumiputera bukan Islam dan 2,000 masyarakat Cina. Namun itu belum cukup, sebab itu kita wujudkan Tabung Pendidikan Sabah, dan setakat ini lebih 10,000 pelajar telah dibantu,” jelasnya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bergambar bersama belia yang menghadiri Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda Sabah 2025.

Beliau turut mengingatkan anak muda supaya memainkan peranan menjelaskan kepada rakyat mengenai kejayaan dan pencapaian kerajaan di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar maklumat tepat sampai kepada masyarakat. “Saya minta suara anak muda bantu jelaskan apa yang kerajaan buat, jangan biar usaha kami menstabilkan ekonomi dan menambah hasil negeri disalaherti dengan fitnah pembangkang,” katanya.