Hajiji Bertemu Sukarelawan Kemanusiaan Sumud Flotilla dari Sabah
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, meluangkan masa bertemu dengan Sul Aidil Sudi, salah seorang peserta dari Sabah yang menyertai kontinjen Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza pada awal Oktober 2025.
Pertemuan itu diadakan pada 20 Oktober 2025 di Sri Gaya, di mana Hajiji menzahirkan penghargaan dan rasa bangga terhadap keberanian Sul serta para sukarelawan lain yang sanggup menghadapi risiko besar demi misi kemanusiaan.
Hajiji turut mendengar pengalaman Sul yang menceritakan detik cemas apabila kapal GSF dipintas oleh pasukan tentera Israel di perairan antarabangsa berhampiran Gaza.
“Saya bersyukur kamu dan rakan-rakan selamat kembali. Keberanian anda semua adalah sesuatu yang amat membanggakan rakyat Sabah dan Malaysia,” kata Hajiji.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Khairul Azlee Mohd Yunus dari Sandakan, yang merupakan sebahagian daripada kru darat GSF Malaysia di Sepanyol. Seorang lagi peserta dari Sabah, Zizi Kirana, tidak dapat hadir kerana komitmen lain.




