Enakmen Perubahan Iklim Letak Asas Kukuh Masa Depan Hijau Sabah

berita-sabahnewsOctober 2025

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata komitmen Sabah terhadap alam sekitar kini berada di tahap lebih tinggi melalui penggubalan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025, yang meletakkan asas kukuh ke arah masa depan negeri yang lebih hijau dan lestari.

Beliau berkata, enakmen bersejarah itu bukan sekadar memperkukuh usaha pemuliharaan, tetapi turut memastikan hak karbon kekal sebagai milik negeri melalui penubuhan Majlis Tindakan Iklim Sabah sebagai badan pembuat keputusan tertinggi. “Enakmen ini juga menubuhkan Pusat Pendaftaran dan Inventori Iklim bagi menjejak projek karbon serta Dana Iklim Sabah untuk menyokong usaha penyesuaian dan ketahanan iklim.

“Paling penting, ia melindungi hak pemilik tanah adat dan penduduk asal agar projek karbon di tanah adat dilaksanakan secara beretika berasaskan rundingan, rasa hormat dan manfaat bersama. Inilah keadilan iklim sebenar — keadilan, keterangkuman dan kelestarian bergerak seiring,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Jantung Hijau Borneo: Memperkukuh Ketahanan Iklim, Pemuliharaan dan Mata Pencarian Lestari pada 22 Oktober 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Hajiji berkata, beberapa undang-undang negeri turut dipinda, termasuk Ordinan Tanah Sabah, bagi mengiktiraf penyimpanan karbon dan mengarusperdanakan tindakan iklim dalam sistem tadbir urus negeri. Beliau mengakui cabaran pelaksanaan masih wujud, namun yakin bahawa “dengan kemahuan politik yang kuat, kerjasama komuniti dan tadbir urus yang baik, cita-cita ini boleh diterjemah menjadi tindakan dan perubahan berkekalan.”

Ketua Menteri turut menegaskan bahawa komitmen Sabah terhadap inisiatif Jantung Borneo (HoB) kekal utuh, dengan lebih 27 peratus tanah negeri — kira-kira dua juta hektar — telah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA). “Tahun ini kita akan melangkah lebih jauh dengan tambahan tiga peratus lagi di bawah Seksyen 5A Enakmen Hutan 1968, membawa kita lebih dekat kepada sasaran 30 peratus TPA,” katanya.

Beliau turut menyoroti Projek Sistem Makanan, Guna Tanah dan Pemulihan (FOLUR), hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri, UNDP dan Global Environment Facility (GEF), yang meliputi 2.38 juta hektar di 12 daerah dan memberi manfaat kepada lebih 54,000 penduduk. “Melalui projek ini, Sabah menyasarkan untuk meletakkan lebih dua juta hektar tanah di bawah pengurusan lebih baik, memulihkan 150,000 hektar hutan serta 50,000 hektar tanah pertanian terdegradasi, sekaligus mengelakkan kehilangan 14,000 hektar hutan bernilai pemuliharaan tinggi.“Secara keseluruhan, usaha ini dijangka menyerap lebih 10 juta tan karbon dioksida setara — satu sumbangan besar kepada matlamat iklim negara,” katanya.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar atas sokongan berterusan terhadap inisiatif HoB sejak 2009, dengan pembiayaan berjumlah RM60 juta kepada Sabah. Beliau menambah bahawa Jabatan Perhutanan Sabah telah mengemukakan beberapa projek strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 sebagai bukti komitmen berterusan kerajaan negeri terhadap pengurusan hutan mampan dan ketahanan iklim.

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Norlijah Danin.