Gunung Kinabalu Catat Rekod Baharu — Miliki Penanda Arah Kiblat Tertinggi di Malaysia
Gunung Kinabalu terus mengukir sejarah apabila monumen penanda arah kiblat yang dipasang di KM8 gunung tertinggi negara itu diiktiraf sebagai Penanda Arah Kiblat Tertinggi di Malaysia oleh Malaysia Book of Records (MBOR). Pengiktirafan rasmi itu diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi Monumen Penanda Arah Kiblat Tertinggi di Malaysia yang diadakan pada 27 Oktober 2025 di The Pacific Sutera, Sutera Harbour Resort.
Dalam ucapannya, Hajiji berkata pengiktirafan tersebut bukan sekadar satu pencapaian fizikal, tetapi juga simbol kekuatan semangat, keilmuan dan keimanan umat Islam di Sabah yang berjaya menggabungkan ilmu falak, teknologi dan ketahanan fizikal dalam satu projek unik serta bermakna.
“Monumen ini berdiri megah di puncak tertinggi Malaysia, menjadi lambang keutuhan akidah dan syiar Islam yang menjulang tinggi. Ia bukan hanya rekod dalam buku, tetapi pengiktirafan terhadap usaha dakwah, ilmu dan inovasi,” katanya.
Menurut beliau, pemasangan monumen kiblat di Gunung Kinabalu amat signifikan kerana ia membantu pendaki Muslim menentukan arah kiblat dengan tepat ketika menunaikan solat di altitud tinggi — sekali gus menyelesaikan cabaran pelaksanaan ibadah di kawasan ekstrem.
“Pendakian Gunung Kinabalu kini semakin popular di kalangan rakyat tempatan dan antarabangsa. Bagi pendaki Muslim, penentuan arah kiblat sering menjadi cabaran. Usaha ini tepat pada masanya, memberikan kemudahan dan keyakinan untuk menunaikan solat dengan sempurna,” ujarnya.
Monumen tersebut dipasang pada ketinggian 3,930.4 meter dari aras laut, menjadikannya penanda arah kiblat tertinggi di negara ini. Projek berkenaan dilaksanakan dalam beberapa fasa bermula dengan tinjauan awal dan penentuan arah kiblat menggunakan kaedah falak oleh Pejabat Mufti Negeri Sabah, disusuli kerja pengukuran oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
Antara agensi lain yang turut terlibat ialah Taman-Taman Sabah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pejabat Ketua Menteri, polis, bomba, RTM, Pejabat Daerah Ranau, Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Bahagian Istiadat dan Protokol. “Sinergi semua agensi ini membuktikan bahawa apabila ilmu, teknologi dan iman bersatu, ia mampu mencipta kejayaan besar. Gunung Kinabalu kini bukan sekadar destinasi pendakian fizikal, tetapi juga destinasi spiritual dan ilmiah yang mengangkat keagungan ciptaan Allah SWT,” katanya.
Hajiji menambah, kewujudan monumen ini turut memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan halal dan mesra Muslim di rantau ini, selain memperkasakan ilmu falak dalam masyarakat. “Pelancong Muslim kini lebih yakin menunaikan solat di puncak tertinggi Malaysia. Ini menjadikan Sabah peneraju pelancongan halal, sekaligus membuktikan bahawa sains dan agama boleh bergerak seiring dalam suasana aman dan harmoni,” katanya.
Beliau yakin pendekatan ini boleh dijadikan model rujukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam usaha menggabungkan pembangunan fizikal dan rohani secara seimbang. “Monumen ini bukan sahaja menandakan arah kiblat, tetapi juga arah kemajuan negeri Sabah — simbol penyepaduan antara pembangunan fizikal dan rohani,” tegas Hajiji.
Tambahan itu, Kerajaan Negeri akan terus menyokong inisiatif berteraskan keagamaan, ilmu dan inovasi sejajar dengan aspirasi Sabah Maju Jaya, bagi membangunkan rakyat bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga nilai dan akhlak.




