Sabah Miliki 25 Peratus Pegangan Dalam PETRONAS PFLNG 3

berita-sabahnews

Sabah kini secara rasmi memiliki 25 peratus kepentingan ekuiti dalam PETRONAS PFLNG 3 Sdn Bhd, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONAS.Perjanjian muktamad pengambilalihan tersebut dimeterai antara SMJ Energy Sdn Bhd (SMJ Energy), syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, dan PETRONAS LNG Sdn Bhd, anak syarikat PETRONAS.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata langkah itu bukan sahaja memperkukuh sinergi antara PETRONAS dan Sabah, tetapi juga membuka ruang kepada lebih banyak bentuk kerjasama strategik pada masa hadapan.


“Langkah ini akan memperkukuh sinergi antara PETRONAS dan negeri Sabah, di samping membuka potensi kerjasama baharu yang membawa manfaat bersama,” katanya.


Perjanjian ini merupakan susulan kepada Kepala Perjanjian bagi cadangan pengambilalihan tersebut yang disaksikan oleh Ketua Menteri dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, di Kuala Lumpur pada 17 Julai 2025.

PETRONAS PFLNG 3 Sdn Bhd, atau dikenali sebagai ZLNG, kini sedang membangunkan kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pesisir (FLNG) bernilai USD3.1 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP). Kemudahan itu dijangka memulakan operasi pada separuh kedua tahun 2027 dan direka dengan kapasiti pengeluaran sebanyak dua juta tan setahun (2.0 MTPA).

Pelaburan strategik ini menambah kepada portfolio pelaburan pelbagai SMJ Energy, termasuk:

  • 50% kepentingan penyertaan dalam Samarang Production Sharing Contract,
  • 10% ekuiti dalam PETRONAS LNG 9 Sdn Bhd,
  • 25% ekuiti dalam PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd (loji petrokimia SAMUR), serta
  • Pemilikan penuh Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) yang mengendalikan aset FPSO dan FSO.

Selain itu, SMJ Energy turut memegang hak free carry dan back-in rights dalam blok penerokaan SB409 (20%), SB403 (20%), SB306A (15%), dan SB306B (15%).

Hajiji berkata, pengambilalihan ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk memperkukuh keupayaan Sabah dalam sektor tenaga dan sumber asli melalui penyertaan langsung dalam industri minyak dan gas. “Langkah ini selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk memastikan Sabah menikmati hasil ekonomi secara lebih seimbang, mampan dan berdaulat,” katanya.