Sabah Keluarkan Hampir 40,000 Ekar Tanah SFI untuk Rizab Kampung

berita-sabahnewsNovember 2025

Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mengeluarkan hampir 40,000 ekar tanah negeri daripada kawasan konsesi Sabah Forest Industries (SFI) untuk dijadikan rizab kampung, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Beliau berkata, langkah itu membuktikan kerajaan prihatin terhadap keperluan rakyat. “Tanah ini telah diwartakan untuk memberi peluang kepada rakyat memiliki dan menduduki tanah dengan lebih selesa,” katanya semasa melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS Kemabong pada 8 November 2025 di Tenom.

Hajiji menjelaskan bahawa di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kebajikan dan kemakmuran rakyat menjadi keutamaan. Contohnya, penerima bantuan kebajikan kini meningkat daripada 30,000 kepada 70,000 orang sejak GRS memerintah. Beliau turut menyebut bahawa melalui Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS, Sabah kini mempunyai peranan lebih besar dalam industri minyak dan gas. Kini terdapat lebih 80 vendor tempatan OGSE (perkhidmatan dan peralatan minyak & gas), berbanding hanya 10 pada tahun 2022, dan mereka kini menguasai 36% pasaran kontrak.

Hajiji menegaskan bahawa berbeza dengan pembangkang yang berpolitik dendam, kerajaan GRS memberi tumpuan kepada pembangunan dan kemajuan melalui SMJ 1.0, dan akan meneruskan agenda tersebut di bawah SMJ 2.0 jika diberi mandat semula. “Kita tidak berjanji kosong. Kita ada agenda pembangunan yang jelas untuk rakyat,” katanya. Beliau turut mengumumkan Datuk Rubin Balang sebagai calon GRS bagi kerusi Kemabong pada PRN Sabah ke-17 pada 29 November 2025, sambil yakin dengan sokongan pengundi, Rubin akan mengekalkan kemenangan.