Sabah Perkukuh Agenda Ekonomi Biru Melalui Kerjasama Strategik Dengan Maybank

berita-sabahnewsNovember 2025
Hajiji menyaksikan pertukaran MoU Blue Financing di antara Kerajaan Negeri dan Maybank; dan Hajiji menyaksikan Sesi Pemeteraian MoU.

Sabah melakar satu lagi sejarah penting dalam usaha membangunkan ekonomi mampan apabila Kerajaan Negeri memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Blue Financing bersama Maybank Group Global Banking bagi memperkukuh pelaksanaan agenda Ekonomi Biru di negeri ini.

Majlis menandatangani MoU yang diadakan di pada 10 November 2025 di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu yang disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, sekali gus menandakan komitmen kerajaan negeri menjadikan Sabah peneraju utama pembangunan ekonomi berasaskan sumber laut dan maritim di rantau ini. Hajiji berkata, MoU ini merupakan langkah penting memperkenalkan Pembiayaan Mampan Berasaskan Ekonomi Biru (Blue Financing) yang membuka akses kepada kemudahan kewangan bagi projek, kajian dan syarikat yang memberi impak positif terhadap ekonomi dan alam sekitar, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Melalui kerjasama ini, Maybank bukan sahaja menyediakan kemudahan pembiayaan, tetapi turut menawarkan khidmat nasihat, pemantauan serta jaringan industri bagi membantu pelaksanaan projek ekonomi biru di Sabah,” katanya. Menurut beliau, pembiayaan ini akan menjadi pemangkin kepada transformasi Ekonomi Biru melalui penerapan teknologi tinggi, pembangunan hab penyelidikan dan pembangunan (R&D), pewujudan harta intelek, peluang pekerjaan serta pengukuhan daya saing ekonomi negeri.

Sabah, jelasnya, memiliki garis pantai sepanjang 2,383 kilometer dengan kawasan perairan yang luas, menjadikannya negeri berpotensi besar dalam pembangunan ekonomi berasaskan laut. “Namun, potensi besar ini belum dimanfaatkan sepenuhnya sebelum ini. Maka, Dasar Ekonomi Biru Sabah diperkenalkan untuk mempelbagaikan struktur ekonomi negeri agar lebih mampan dan inklusif,” katanya. Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama strategik dengan Maybank akan membantu menjadikan Sabah hab ekonomi biru yang progresif dan mampan, seterusnya memberi manfaat kepada komuniti pesisir melalui peningkatan aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan.

Bagi memperkukuh pelaksanaan dasar tersebut, Hajiji berkata, kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis Ekonomi Biru Sabah (MEBS) pada 16 Jun lalu sebagai platform penyelarasan utama dasar dan strategi pelaksanaan ekonomi biru. Selain itu, beliau menyorot kejayaan pelaksanaan Memorandum Perjanjian (MoA) antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Alpha Ocean Resources Berhad (AORB) bagi membangunkan Pelabuhan Bertaraf Kesatuan Eropah (EU) khusus untuk pendaratan ikan tuna dan hasil laut dalam — langkah penting memperkukuh nilai tambah industri perikanan negeri.

Hajiji turut menyatakan bahawa pewujudan Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat akan menjadi pemangkin pelaburan dalam teknologi marin, tenaga boleh diperbaharui dan pemprosesan makanan laut bernilai tambah tinggi. Beliau turut menyentuh kejayaan penganjuran Sabah International Blue Economy Conference (SIBEC) 2024 yang menghimpunkan lebih 4,000 peserta dari dalam dan luar negara sebagai bukti pengiktirafan antarabangsa terhadap Sabah dalam bidang pembangunan ekonomi biru.

Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Maybank atas kepercayaan dan komitmen mereka dalam merealisasikan inisiatif Blue Financing di Sabah. “Saya menyeru semua usahawan muda dan pemain industri agar bersama-sama kerajaan negeri menjayakan agenda ini. Jadikan Blue Financing sebagai pemangkin transformasi ekonomi biru Sabah demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.