Hajiji: Hormati Hak Demokratik dan Dinamika Politik di Sabah

berita-sabahnewsNovember 2025

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa keputusan dua bekas pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang kini bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan hak demokratik yang wajar dihormati.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, setiap individu dalam sistem politik bebas memilih parti yang ingin diwakili, selaras dengan prinsip demokrasi yang diamalkan di negeri ini. “Sudah tentu itu hak demokrasi mereka untuk memilih parti yang ingin diwakili. Mereka memilih untuk bertanding atas tiket PKR. Secara kebetulan, PKR juga merupakan rakan gabungan dalam kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dan Maybank bagi pelaksanaan projek Blue Financing Ekonomi Biru Sabah di Menara Kinabalu pada 10 November 2025.

Hajiji, yang juga Presiden Gagasan Rakyat, mengulas mengenai keputusan Datuk Jamawi Jaafar dan Datuk George Hiew yang kini dinamakan sebagai calon PKR selepas meninggalkan Gagasan Rakyat. Menurutnya, langkah itu tidak menimbulkan sebarang isu kepada GRS mahupun Gagasan Rakyat kerana ia mencerminkan keunikan serta dinamika politik di Sabah. “Bagi saya, tiada masalah — inilah dinamika politik di Sabah. Kedua-dua individu berkenaan kini secara rasmi calon PKR dan bukan lagi mewakili Gagasan Rakyat. Itu hak mereka dan kita menghormatinya. Kita tidak boleh menghalang — itu sebahagian daripada demokrasi,” katanya.

Hajiji turut menegaskan bahawa GRS tetap akan memberikan sokongan kepada mereka kerana PKR merupakan rakan komponen dalam kerajaan gabungan negeri. Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai keputusan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang melepaskan jawatan dalam Kabinet Persekutuan, Hajiji berkata beliau menghormati keputusan berkenaan. “Saya tidak boleh memberi komen lanjut. Kami sudah pun mengeluarkan kenyataan. Jika boleh, kami berharap Kerajaan Persekutuan tidak membuat rayuan dalam isu 40% MA63. Namun, jika mereka mahu berbuat demikian, itu adalah keputusan mereka,” katanya.