Kerajaan Persekutuan Hormati Keputusan Mahkamah Tinggi, Tidak Akan Membuat Rayuan Terhadap Penghakiman

berita-sabahnewsNovember 2025

Kerajaan Negeri Sabah menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri Persekutuan atas keputusan bersejarah untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pemberian khas 40 peratus kepada negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober 2025 yang mengesahkan semula hak perlembagaan Sabah terhadap pemberian khas tersebut menandakan kemenangan besar bagi rakyat Sabah.


“Keputusan untuk tidak membuat rayuan ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri memahami harapan dan aspirasi rakyat Sabah serta mencerminkan komitmen tulen beliau dalam menegakkan apa yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Hajiji berkata, dalam pertemuan dan perbincangan beliau bersama Perdana Menteri, Kerajaan Negeri telah menyatakan pendirian tegas bahawa hak perlembagaan Sabah mesti dihormati, diiktiraf dan dilaksanakan sepenuhnya.“Keputusan ini juga mencerminkan hubungan kerja yang kukuh antara Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Putrajaya,” ujarnya.

Menurut Hajiji, penghormatan terhadap keputusan mahkamah itu merupakan langkah penting ke arah merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung Malaysia, khususnya di kawasan luar bandar yang masih ketinggalan dari segi infrastruktur, pertanian dan kemudahan asas.


“Rakyat Sabah telah menunggu terlalu lama. Apa yang diperlukan kini ialah tindakan tegas dan kemahuan politik yang tulen untuk menunaikan serta melaksanakan hak 40 peratus itu,” katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri bersedia untuk terus berunding secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan keputusan mahkamah dan penyemakan perjanjian tersebut dapat dimuktamadkan. Hajiji dalam masa yang sama menyeru rakyat Sabah agar terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri dan memperkukuh perpaduan demi kemajuan serta kesejahteraan negeri.