GRS Tegas Junjung Prinsip Keadilan dan Kesaksamaan untuk Rakyat Sabah
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) komited menjadi kerajaan yang adil, inklusif dan saksama, satu prinsip yang akan terus dipertahankan sekiranya diberikan mandat baharu oleh rakyat pada 29 November ini, kata Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Beliau berkata komitmen itu jelas digariskan menerusi manifesto pilihan raya GRS yang bertunjangkan empat teras utama iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United, yang menjadi asas hala tuju gabungan tersebut.
“GRS telah membuktikan keupayaannya mentadbir negeri dengan berkesan sepanjang lima tahun lalu. Kita berjaya memajukan Sabah melalui pelbagai inisiatif dan kita bantu rakyat tanpa mengira kaum atau agama. Kita mohon mandat baharu untuk meneruskan perancangan ini,” katanya pada Majlis Bersama Rakyat di Beaufort pada 19 November 2025. Turut hadir calon-calon GRS Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Ruslan Muharam (Lumadan), Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musa dan Ketua Wanita GRS Datuk Azizah Dun.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri pimpinan GRS telah mencapai banyak kejayaan, terutamanya dalam memacu pemulihan ekonomi selepas pandemik melalui inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Beliau memberi contoh manfaat yang bakal dinikmati penduduk Sipitang, Lumadan dan Klias hasil pembangunan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP). “Perjanjian telah ditandatangani dengan banyak syarikat untuk memulakan operasi. Kini, SOGIP telah terisi sepenuhnya,” katanya.
Walaupun fokus diberikan kepada projek pembangunan mega, beliau menegaskan kebajikan rakyat tidak pernah dipinggirkan.“Apabila kami kembali menjadi kerajaan pada 29 November nanti, kami akan mempertimbangkan pemberian bantuan kepada semua warga emas yang layak berusia 60 tahun ke atas. Inilah hasrat kami — kami mahu membantu rakyat,” katanya. Hajiji berkata, dalam tempoh lima tahun, jumlah penerima bantuan kebajikan meningkat daripada 30,000 kepada 70,000 orang, dengan bantuan sehingga RM300 sebulan. Mulai tahun ini pula, kira-kira 100,000 ketua isi rumah e-Kasih turut menerima bantuan RM300 setiap bulan. Beliau menegaskan bahawa GRS akan meneruskan semua inisiatif kebajikan sedia ada sambil memperkenalkan program baharu demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan Sabah.




