GRS Komited Kekalkan Kestabilan Politik Sabah

berita-sabahnewsNovember 2025

Kerajaan Negeri yang dipimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus memastikan kestabilan politik di Sabah demi meneruskan agenda pembangunan negeri, kata Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Menurut beliau, hanya melalui kestabilan politik dan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan, usaha membangunkan Sabah serta melaksanakan pelan strategik negeri dapat dijayakan.

“Adalah penting rakyat terus menyokong GRS kerana kita mahu menjaga negeri kita sendiri. Kita memerlukan sokongan rakyat dan GRS mesti diberikan mandat semula dalam pilihan raya ini bagi menjamin kestabilan politik,” katanya pada majlis bersama rakyat di Dewan Terbuka Kiulu pada 24 November 2025.

Hajiji yang juga calon GRS bagi kerusi Sulaman menolak dakwaan pembangkang bahawa Kerajaan Persekutuan mengabaikan Sabah. Katanya, kerjasama dengan pusat tidak membawa maksud tunduk, sebaliknya penting bagi memastikan hak serta tuntutan Sabah terus diperjuangkan. “Dalam setiap pertemuan, saya sentiasa tegas mempertahankan hak-hak Sabah. Adalah satu kerugian besar jika GRS tidak dapat meneruskan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Mengulas tuduhan kononnya kerajaan GRS gagal mentadbir, Hajiji berkata pembangkang sebenarnya gagal kerana hanya mampu mentadbir selama lebih dua tahun ketika diberi peluang. “Pembangkang kehabisan idea, sekadar mengulangi retorik dan membangkitkan isu tanpa asas,” tegasnya.

Beliau turut yakin calon GRS di Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, akan diberi mandat semula berdasarkan khidmat cemerlang kepada masyarakat setempat.“Dengan empat hari lagi sebelum hari mengundi, saya menyeru rakyat membuat keputusan tepat agar semua kejayaan yang telah dicapai dapat diteruskan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.