Sabah Law Society Diminta Kemuka Input Mengenai Geran 40% dan Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, meminta Sabah Law Society (SLS) mengemukakan input terperinci bagi mengukuhkan tuntutan Sabah terhadap geran khas 40 peratus yang perlu dibayar Kerajaan Persekutuan mengikut Perlembagaan.
Hajiji berkata pandangan dan syor SLS akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Besar Negeri serta Kementerian Kewangan Negeri bagi memperkukuh rangka kerja tuntutan Sabah dalam rundingan yang sedang berlangsung dengan Kerajaan Persekutuan.
“Dalam pertemuan dengan SLS, saya mendengar pandangan dan cadangan mereka. Saya telah meminta mereka menyediakan input terperinci dan menyerahkannya kepada Peguam Besar Negeri dan Kementerian Kewangan Negeri bagi terus memperkukuh tuntutan kita,” katanya selepas pertemuan bersama Presiden SLS, Datuk Mohamed Nazim Maduarin, dan bekas presiden, Datuk Roger Chin, di kediamannya pada 26 November 2025.
Permintaan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan rundingan dengan Sabah dalam tempoh 90 hari mengenai pelaksanaan geran khas tersebut.
Selain isu geran 40 peratus, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut meminta SLS memainkan peranan dalam pembentukan kerangka Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah (Sabah Sovereign Wealth Fund – SSWF), termasuk penyediaan draf enakmen bagi dana berkenaan. Penubuhan SSWF merupakan salah satu ikrar utama dalam manifesto pilihan raya GRS, dengan sasaran meningkatkan hasil tahunan Sabah kepada RM10 bilion menjelang tahun 2030. Dana tersebut akan dimulakan melalui sebahagian rizab negeri bagi menjamin kestabilan kewangan jangka panjang untuk generasi akan datang.
Selain itu, satu peratusan tetap daripada geran khas 40 peratus Sabah akan disalurkan ke dalam dana tersebut setiap tahun. Hajiji berkata pasukan kerja bagi SSWF bukan sahaja melibatkan wakil kerajaan, tetapi turut merangkumi para profesional serta pakar dalam bidang pelaburan, kewangan dan perundangan bagi memastikan pengurusan dana itu mencapai standard tertinggi.




