Sabah Yakin Rundingan Geran Khas 40% Hampir Ke Penghujung
Sabah optimis bahawa isu hak geran khas 40 peratus akan diselesaikan dalam masa terdekat. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata keyakinan ini lahir daripada hubungan erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan. “Kita percaya hubungan yang kukuh bukan sahaja perlu, tetapi penting untuk memastikan kemajuan berterusan, termasuk hal berkaitan kedaulatan, keselamatan, perpaduan dan kenegaraan. Walaupun kita mempertahankan hak Sabah, kita tetap bertanggungjawab menjaga kepentingan negara,” katanya.
Beliau yakin hubungan yang baik ini akan mempercepatkan penyelesaian obligasi Kerajaan Persekutuan berhubung pembayaran hak hasil 40 peratus kepada Sabah, sesuatu yang diharapkan dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat demi manfaat bersama. Hajiji berkata demikian pada program Sentuhan Madani yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada 6 Disember 2025.
Ketua Menteri juga menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk mengangkat pembangunan Sabah dalam tempoh lima tahun akan datang. Beliau menekankan bahawa setiap perancangan harus memberi manfaat kepada rakyat melalui pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan. Mulai tahun depan, pembangunan Sabah akan dipandu oleh Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0, termasuk penubuhan tiga taman perindustrian baharu — Taman Perindustrian Industri Ekonomi Biru di Kudat, Taman Perindustrian Minyak dan Gas di Beaufort, serta Taman Perindustrian Teknologi Tinggi dan Semikonduktor di Kota Belud dan Kota Marudu — bagi memenuhi permintaan pelaburan yang semakin meningkat.
Hajiji turut mengumumkan penambahbaikan program kebajikan sosial, termasuk pembinaan 50 unit Rumah Mesra SMJ di setiap kawasan DUN untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar, serta bantuan bulanan RM300 kepada 100,000 penerima pada tahun 2026. Bantuan baharu untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas tanpa pendapatan tetap dan insentif deposit rumah pertama juga akan diperkenalkan.
Kerajaan Negeri turut akan mempergiat usaha menaik taraf infrastruktur asas, dengan lebih RM1.2 bilion diperuntukkan untuk bekalan air, dilaksanakan secara berfasa mulai pertengahan 2026. Beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri atas peruntukan RM765 juta bagi menyiapkan Projek Sabah Southern Link, yang bakal menghubungkan grid elektrik Pantai Barat dan Pantai Timur bagi mengatasi masalah gangguan elektrik di kawasan itu.




