Kepimpinan GLC Sabah Akan Disusun Semula

berita-sabahDec 2025newsNovember 2025

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata Kerajaan Negeri akan memulakan proses penstrukturan semula secara menyeluruh terhadap semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk pelantikan pengerusi dan ahli lembaga pengarah yang baharu. Menurut beliau, langkah ini penting bagi mengukuhkan tadbir urus korporat, meningkatkan akauntabiliti, serta memperkenalkan kepimpinan baharu yang mampu melonjakkan prestasi dan menyokong pencapaian agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

“Tujuan kita adalah untuk memastikan GLC menjadi pemangkin ekonomi yang cekap dan boleh dipercayai melalui pengurusan yang berkompeten, seterusnya mencipta nilai yang lebih besar untuk rakyat dan negeri,” katanya pada 7 Disember 2025. Hajiji turut menegaskan keperluan barisan kepimpinan yang lebih dinamik, profesional dan berorientasikan hasil untuk menerajui era baharu yang menumpukan pelaburan strategik, pendigitalan, tenaga baharu serta pembangunan sosial.

“Kita menghargai kepimpinan sebelum ini, namun rombakan diperlukan untuk memastikan transformasi yang lebih berkesan dan berterusan. Keutamaan kita adalah masa depan Sabah yang stabil, makmur dan terjamin, selaras dengan aspirasi SMJ 2.0,” tambahnya.