Sabah Sambut Keputusan Mahkamah Rayuan Paris Batalkan “Anugerah Akhir” AS$14.9 Bilion
Kerajaan Negeri Sabah menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang membatalkan “Anugerah Akhir” bernilai AS$14.9 bilion yang dikemukakan oleh pihak yang menggelarkan diri mereka sebagai penuntut Sulu, sekali gus disifatkan sebagai kemenangan besar dan muktamad bagi Malaysia.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata keputusan mahkamah itu membuktikan ketegasan pendirian Sabah dan Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan negeri ini dalam Persekutuan Malaysia.
“Saya telah menyatakan sebelum ini bahawa Sabah akan terus mempertahankan kedaulatannya dan tidak akan melayan sebarang tuntutan sedemikian. Keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 9 Disember lalu mengesahkan pendirian Sabah selama ini,” katanya dalam reaksi terhadap kenyataan Bilik Gerakan Sekretariat Khas Sulu yang bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia, pada 11 Disember 2025.
Mahkamah Rayuan Paris memutuskan bahawa penimbang tara, Gonzalo Stampa, tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan “Anugerah Akhir” berkenaan serta mendapati tiada perjanjian timbang tara yang sah yang mengikat Malaysia.
Susulan keputusan itu, Kerajaan Negeri Sabah menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dalam menolak dan membatalkan sebarang tuntutan seumpama itu pada masa hadapan demi mempertahankan kedaulatan serta kepentingan negara.




