Belanjawan Negeri 2026: Beri Tumpuan Khas Kepada Jalan Raya, Air dan Elektrik

berita-sabahDec 2025newsNovember 2025

Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan khusus untuk menangani tiga isu utama melibatkan jalan raya, bekalan air dan elektrik sepanjang tahun 2026, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Beliau berkata, ketiga-tiga perkara berkenaan merupakan keutamaan kerajaan negeri bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta menyokong pembangunan sosioekonomi Sabah secara menyeluruh.


“Isu jalan raya, air dan elektrik adalah keutamaan Kerajaan Negeri dan akan diberi perhatian serius pada tahun hadapan,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Negeri 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada 12 Disember 2025.


Hajiji berkata, Belanjawan Negeri 2026 meneruskan komitmen kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat secara keseluruhan, termasuk memperkukuh kebajikan golongan kurang bernasib baik. “Selain itu, kerajaan turut memberi penekanan kepada pembangunan pendidikan dan modal insan sebagai pelaburan jangka panjang untuk masa depan negeri,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun membentangkan Belanjawan Negeri 2026 yang mencatat lebihan, dengan perbelanjaan berjumlah RM6.402 bilion berbanding anggaran hasil sebanyak RM6.430 bilion.

Bagi menyokong pelaksanaan keutamaan berkenaan, Kementerian Kerja Raya dan Utiliti, yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan jalan raya serta bekalan air dan elektrik, diperuntukkan sebanyak RM1.122 bilion bagi perbelanjaan pembangunan pada tahun 2026.