Kerajaan Negeri Lancar BESS Lahad Datu, Perkukuh Kestabilan Bekalan Elektrik Pantai Timur
Kerajaan Negeri melancarkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri Lahad Datu (Battery Energy Storage System Lahad Datu – BESS Lahad Datu) sebagai langkah strategik untuk mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah serta meningkatkan kualiti hidup dengan memastikan bekalan elektrik yang stabil, mencukupi dan mampu milik untuk rakyat Sabah.
“BESS Lahad Datu merupakan satu pencapaian penting kerana ia adalah fasiliti penyimpanan tenaga terbesar bukan sahaja di Malaysia, malah di Asia Tenggara. Ia direka untuk meningkatkan kestabilan grid, mengurangkan kebergantungan kepada diesel dan menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui di negeri ini,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran BESS Lahad Datu yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, pada 12 Disember 2025.
Hajiji berkata, selain BESS Lahad Datu, Kerajaan Negeri turut merancang dan melaksanakan beberapa langkah strategik lain di bawah Pelan Induk dan Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (Sabah Energy Roadmap and Masterplan 2040 – SE-RAMP 2040), yang menjadi panduan utama pembangunan sektor tenaga negeri berasaskan tiga prinsip teras iaitu keselamatan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian alam sekitar. “Kesemua inisiatif ini penting bagi memastikan kemajuan sosioekonomi serta kesejahteraan rakyat di seluruh Sabah,” katanya.
Menurut beliau, pemindahan kuasa regulatori bekalan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah pada Januari 2024 telah membolehkan negeri menggubal dasar serta peraturannya sendiri, sekali gus mempercepat pelaksanaan projek tenaga yang lebih bersesuaian dengan keperluan tempatan di bawah seliaan Suruhanjaya Tenaga Sabah (Energy Commission of Sabah – ECoS).
Setakat ini, Kerajaan Negeri telah meluluskan hampir 1,000 megawatt (MW) kapasiti penjanaan baharu merangkumi pelbagai sumber termasuk hidro, solar dan angin. Bagi memperkukuh lagi penjanaan tenaga, ECoS turut melancarkan bidaan Solar Skala Besar (Large-Scale Solar – LSS) yang menyasarkan pembangunan loji jana kuasa solar antara 1MWac hingga 15MWac pada 2024. Daripada bidaan itu, sebanyak 15 projek dengan kapasiti keseluruhan 199MW telah diluluskan, melibatkan 113MW di Pantai Barat dan 86MW di Pantai Timur. Dengan projek sedia ada termasuk yang sedang dilaksanakan, kapasiti LSS di Sabah dijangka melebihi 350MW menjelang 2027, bersamaan 23 peratus daripada keseluruhan campuran kapasiti penjanaan elektrik negeri.
Hajiji turut memaklumkan bahawa satu lagi projek Solar Fotovolta Skala Besar (Large-Scale Solar Photovoltaic – LSSPV) di Kota Marudu yang dijadualkan siap pada 2026 dijangka terus meningkatkan kapasiti tenaga Sabah. Beliau menegaskan keperluan memperluas penggunaan teknologi penyimpanan tenaga di beberapa lokasi strategik bagi mengurangkan gangguan elektrik serta menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui dengan grid utama.
Di samping itu, Sabah Electricity bekerjasama dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) untuk melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Pelan Hala Tuju Elektrifikasi Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah (Sabah Renewable Energy Electrification Roadmap – SabahRE2) bagi memperluas akses elektrik ke kawasan luar bandar dan pedalaman. “Kerajaan Negeri kekal komited untuk meningkatkan kebolehpercayaan, kestabilan dan daya tahan jangka panjang sistem bekalan elektrik negeri, yang merupakan faktor penting dalam menarik dan mengekalkan pelaburan domestik serta antarabangsa,” katanya. Beliau berkata melalui kerjasama erat antara Sabah Electricity, ECoS dan agensi Persekutuan, kerajaan bertekad membangunkan ekosistem tenaga yang selamat, futuristik dan mesra pelabur demi pembangunan berterusan Sabah.
Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri/ Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.



