Cement Industries Salur RM1 juta kepada Tabung Pendidikan Negeri Sabah
Cement Industries (Sabah) Sdn. Bhd. (CIS) menyalurkan sumbangan berjumlah RM1 juta kepada Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) sebagai sokongan terhadap usaha Kerajaan Negeri memperkasa pendidikan dan pembangunan modal insan di Sabah.
Sumbangan itu diserahkan oleh Pengerusi CIS, Datuk Japlin Haji Akim kepada Pengerusi Bersama TPNS, Dato’ Sri Haji Ghulamhaidar Khan Bahadar, dalam satu majlis ringkas yang disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, di pejabat Ketua Menteri di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN), pada 15 Disember 2025.
Japlin berkata sumbangan berkenaan mencerminkan komitmen CIS sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dalam menyokong inisiatif strategik Kerajaan Negeri, khususnya dalam membantu anak-anak Sabah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, usaha itu selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkasa sumber manusia Sabah serta melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berkemahiran tinggi demi pembangunan jangka panjang negeri.
“Sumbangan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat CIS dalam menyokong agenda pendidikan negeri dan pelaburan berterusan terhadap masa depan anak-anak Sabah,” katanya.




