PPM Diminta Bantu Hebahkan Pencapaian Kerajaan GRS Kepada Rakyat
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor meminta semua pihak, khususnya Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), agar memainkan peranan aktif membantu Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelaskan pencapaian kerajaan kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Hajiji berkata PPM boleh dianggap sebagai mata dan telinga kerajaan di peringkat akar umbi, dengan peranan utama membantu menjelaskan dasar, program serta kejayaan kerajaan kepada rakyat.“Bantu sebarkan pencapaian kerajaan. Banyak kejayaan telah kita laksanakan untuk rakyat. Melalui Hala Tuju Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), kita berjaya mengangkat ekonomi negeri, memulihkan ekonomi pasca COVID-19, meningkatkan hasil negeri daripada RM4 bilion kepada RM7 bilion, serta menambah rizab negeri sehingga melebihi RM8.6 bilion,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan tersebut perlu disampaikan kepada rakyat agar mereka memahami hala tuju dan prestasi sebenar kerajaan negeri. Beliau turut menzahirkan kejayaan menarik pelaburan ke Sabah, termasuk di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang kini telah penuh, selain pelaburan terbaharu bernilai RM31 bilion oleh sebuah syarikat dari Singapura yang dijangka mewujudkan antara 6,000 hingga 7,000 peluang pekerjaan.
“Jika Kerajaan GRS dianggap gagal, SOGIP dan taman perindustrian lain di Sabah mungkin masih kosong hingga ke hari ini kerana tiada pelabur yang datang,” katanya.Hajiji berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah dan Menandatangani Aku Janji Jawatan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Negeri Sabah di Menara Kinabalu, pada 13 Januari 2026.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kerajaan Negeri akan memperkukuh pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang dijadualkan dilancarkan pada hujung bulan ini bagi memantapkan agenda ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri.
Mengucapkan tahniah kepada semua PPM yang baharu mengangkat sumpah, Hajiji berharap mereka dapat memainkan peranan aktif sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat dengan menyampaikan maklumat yang tepat serta menjelaskan dasar dan kejayaan kerajaan secara berkesan. “Jawatan PPM merupakan satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dan komitmen demi masa depan Sabah dan generasi akan datang,” katanya. Seramai 45 orang Pemimpin Pembangunan Masyarakat Negeri Sabah telah mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat Aku Janji masing-masing.




