PPM Diminta Laksana Tugas Dengan Penuh Integriti – Hajiji
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menasihatkan semua Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) supaya menjalankan tugas mereka dengan penuh integriti memandangkan mereka mewakili Kerajaan Negeri di kawasan masing-masing. Beliau berkata PPM yang berkhidmat di kawasan pembangkang, khususnya, memikul tanggungjawab besar untuk meraih kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Selain mematuhi arahan kerajaan, peranan PPM di kawasan pembangkang adalah mencabar. Kamu adalah mata dan telinga kerajaan. Laksanakanlah tugas dengan baik,” katanya pada majlis angkat sumpah fasa kedua di Kota Kinabalu, pada 20 Januari 2026, melibatkan 35 orang PPM, yang kebanyakannya akan berkhidmat di kawasan pembangkang.Beliau berkata seramai 45 orang PPM telah mengangkat sumpah jawatan pada majlis angkat sumpah pertama yang diadakan pada 13 Januari 2026.
Hajiji turut mengingatkan semua PPM supaya sentiasa menjaga imej Kerajaan Negeri dan tidak menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi.“Jangan lakukan perkara demi kepentingan sendiri. Jika saya mendapati ada yang mengejar kepentingan sendiri dan mengabaikan rakyat, saya tidak akan teragak-agak untuk memecat mereka. Jangan salah guna kuasa, sebaliknya berikan keutamaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya.
Beliau juga menegaskan semula bahawa PPM perlu memainkan peranan aktif menjelaskan kepada peringkat akar umbi mengenai dasar, inisiatif dan pencapaian Kerajaan Negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).




