KM Terima Kunjungan Hormat Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia

berita-sabahFeb 2026news
Hajiji menyampaikan cenderamata kepada Choi semasa kunjungan hormat di Menara Kinabalu, dan seterusnya kepada Daerr dalam kunjungan hormat berasingan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah menerima kunjungan hormat Duta Kesatuan Eropah (European Union, EU) ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Rafael Daerr, pada 5 Februari 2026 di Menara Kinabalu. Dalam pertemuan tersebut, Daerr menegaskan kepentingan Sabah dalam hubungan EU–Malaysia, sejajar dengan kedudukan strategik negeri itu di Asia Tenggara serta potensi besar dalam sektor ekonomi, pembangunan mampan dan kerjasama antarabangsa. Beliau turut menyatakan komitmen EU untuk terus memperkukuh hubungan dengan Sabah, berasaskan hubungan erat dan penglibatan konstruktif yang telah terjalin sejak beberapa tahun lalu.

Hajiji menekankan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa terbuka kepada kerjasama antarabangsa yang selari dengan hala tuju pembangunan Sabah dan mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat, khususnya dalam mempercepatkan agenda pembangunan negeri. Selaras dengan keutamaan tersebut, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama masa hadapan antara EU dan Sabah, bukan sahaja meneruskan bentuk kerjasama sedia ada, malah meneroka peluang baharu yang lebih strategik serta berimpak tinggi. Perbincangan turut merangkumi usaha memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang berpotensi, selari dengan visi pembangunan Sabah dan kepentingan bersama EU.

Terdahulu, Daerr telah menghadiri majlis pelancaran Buku Sistem Jaminan Perundangan Kayu Sabah Plus (Sabah Timber Legality Assurance System Plus atau Sabah TLAS+), iaitu sistem pertama seumpamanya di dunia yang mengintegrasikan pematuhan perundangan, keperluan bebas penebangan hutan di bawah Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (European Union Deforestation Regulation, EUDR), serta prinsip kelestarian sukarela dalam satu rangka kerja bersepadu.

Dalam acara berasingan, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Konsul Republik Korea di Kota Kinabalu, Encik Choi Bongkyu.