Pelajar Sabah Diseru Ambil Tahu Usaha Kerajaan Negeri
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru pelajar Sabah, khususnya yang menuntut di luar negeri, supaya memahami usaha dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri serta tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat.
Beliau berkata pelajar perlu mendapatkan maklumat sahih mengenai inisiatif kerajaan yang bertujuan membawa kemajuan dan menyelesaikan isu rakyat di Sabah. Katanya, kerajaan komited meneruskan dasar pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Inisiatif Bantuan Graduan Rindu Sabah/Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS SubFly) 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak pada 13 Februari 2026. Inisiatif itu memberi manfaat kepada 2,772 pelajar Sabah yang sedang menuntut di universiti berkenaan.
Ketua Menteri turut menggalakkan graduan Sabah kembali berkhidmat di negeri ini bagi menyumbang kepakaran kepada pembangunan Sabah. Beliau menegaskan pendidikan adalah kunci utama kemajuan serta memaklumkan kerajaan negeri terus berusaha menyelesaikan isu asas seperti bekalan air, jalan raya dan elektrik dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.




