Kerajaan Negeri Pantau Rapi Situasi Banjir
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) sedang memantau rapi situasi banjir di kawasan terjejas.
Beliau berkata semua sumber dan aset digerakkan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bagi memastikan bantuan segera disalurkan kepada mangsa. “Saya telah mengarahkan jawatankuasa berkaitan untuk mengaktifkan jentera masing-masing supaya bantuan dapat disampaikan dengan segera kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Menurut JPBN, seramai 336 individu daripada 111 keluarga telah dipindahkan ke lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kota Marudu dan Pitas. Selain itu, situasi di Sandakan dan Paitan turut dipantau dari semasa ke semasa.
Ketua Menteri turut menasihati penduduk di kawasan rendah dan berisiko supaya sentiasa berwaspada serta mengutamakan keselamatan susulan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Sementara itu, Kerajaan Negeri hari ini menyampaikan sumbangan kepada 16 individu yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Tanjung Aru pada 18 Februari. Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya bersama Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah (YKS), Datuk Diyanah Abdullah menyampaikan sumbangan tersebut di PPS Kampung Sembulan.




