Kerjasama Kukuh Kerajaan–FCAS Perkukuh Kesejahteraan Sabah

berita-sabahFeb 2026news

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata semangat kerjasama erat antara kerajaan dan pertubuhan masyarakat seperti Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) mampu terus memelihara kesejahteraan negeri.

Beliau berkata kerjasama tersebut dapat memperkukuh kestabilan sosial serta memajukan ekonomi rakyat, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang menekankan pembangunan inklusif dan seimbang.

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam pada Pesta Angpau FCAS di Dewan Hakka pada 21 Februari 2026.

Menurutnya, FCAS yang menghimpunkan 160 persatuan Cina dari seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan memainkan peranan penting dalam memelihara budaya, memperkukuh perpaduan serta menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negeri.

“Pesta Angpau bukan sekadar acara perayaan, tetapi lambang perpaduan dan semangat kebersamaan masyarakat berbilang kaum di Sabah,” katanya sambil menegaskan kerajaan negeri amat menghargai kerjasama erat dengan FCAS dalam bidang pendidikan, kebajikan, kebudayaan dan pembangunan komuniti.