Hajiji: Terus Hormati Perbezaan Berbilang Kaum dan Bangsa
Hajiji Noor menyeru rakyat agar terus menghormati kepelbagaian kaum dan bangsa sebagai asas memperkukuh perpaduan serta keharmonian dalam masyarakat majmuk di negeri ini. Menurut beliau, perpaduan yang mantap hanya dapat dicapai apabila rakyat bersatu hati dan saling menghargai perbezaan yang wujud.
Beliau berkata demikian ketika majlis perasmian Pesta Angpau 2026 pada 28 Februari 2026 di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli, yang dianjurkan oleh Persatuan Chung Fook Tong bersama 10 persatuan Cina lain. Ucapan beliau telah disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun. Tambah beliau, Kerajaan Negeri Sabah sentiasa komited menyokong program yang memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian antara kaum serta memajukan pembangunan sosial dan budaya selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya. Katanya, penganjuran Pesta Angpau membuktikan bahawa kerjasama erat antara kerajaan dan pertubuhan masyarakat mampu membawa impak positif kepada kesejahteraan rakyat.
Ketua Menteri turut berharap rakyat terus menjadi rakan strategik kerajaan dalam memperkukuh perpaduan dan mengekalkan kestabilan politik demi kesejahteraan bersama serta kelancaran pembangunan negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0. Beliau juga menyeru masyarakat Tionghua agar terus memainkan peranan penting sebagai rakan pembangunan negeri.
Menurutnya lagi, Pesta Angpau merupakan platform signifikan untuk memelihara, meneruskan dan berkongsi budaya serta nilai murni masyarakat Tionghua dengan seluruh rakyat. Usaha ini bukan sahaja memperkasa warisan budaya, malah membuka peluang untuk budaya tempatan diketengahkan ke peringkat lebih luas termasuk antarabangsa.
Beliau menegaskan bahawa penglibatan masyarakat berbilang kaum dalam penganjuran pesta tersebut mencerminkan identiti Sabah sebagai negeri yang aman, harmoni dan penuh toleransi. Katanya, kekuatan sebenar negeri ini terletak pada kepelbagaian yang diraikan bersama, bukan perbezaan yang memisahkan.




