Keselamatan Sabah Timur Terus Terpelihara

berita-sabahnews

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dalam memperkukuh aspek keselamatan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, di samping memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. Menurut beliau, Sabah mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai Hab Ekonomi Biru di ASEAN Timur berikutan kekayaan biodiversiti marin serta kedudukannya yang strategik di laluan perdagangan serantau.

Beliau menjelaskan bahawa dalam kerangka Sabah Maju Jaya 2.0, sektor maritim dan Ekonomi Biru dikenal pasti sebagai pemacu baharu pertumbuhan negeri. Ini termasuk pembangunan industri perikanan moden, pengukuhan rantaian nilai makanan laut, pengembangan sektor pelancongan marin, penambahbaikan infrastruktur pelabuhan serta pembangunan bandar pesisir dan sempadan sebagai hab ekonomi baharu.

Bagaimanapun, Hajiji menegaskan bahawa semua potensi tersebut hanya dapat direalisasikan sepenuhnya sekiranya keselamatan perairan negeri sentiasa terjamin. Tanpa persekitaran keselamatan yang stabil, pelaburan dalam sektor maritim, pelancongan laut dan industri makanan laut sukar berkembang dengan baik. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan kuih-muih Hari Raya Aidilfitri kepada anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan pada 10 Mac 2026 di Menara Kinabalu.

Tambahnya lagi, Sabah mempunyai kedudukan strategik dengan garis pantai melebihi 1,400 kilometer. Dalam konteks keselamatan negara, negeri ini menjadi barisan hadapan Malaysia di Borneo dan Laut Sulu, sekali gus menjadikannya pintu masuk ekonomi maritim Malaysia di rantau berkenaan. Di Sabah Timur, kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) merangkumi 10 daerah utama iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. Kawasan ini diperkukuh melalui peranan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang menyelaras operasi keselamatan darat, laut dan udara di Pantai Timur Sabah, sekali gus melambangkan kedaulatan negara di wilayah tersebut.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pengukuhan keselamatan bukan sahaja penting untuk melindungi rakyat, malah turut membuka peluang kepada pembangunan bandar-bandar sempadan sebagai pintu pertumbuhan ekonomi baharu.