Kunjungan Hormat Diplomat Jepun
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Ketua Pejabat Konsular Jepun bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, Konsul-Jeneral Yamashita Yoshito di pejabatnya di Menara Kinabalu pada 10 Mac 2026. Kunjungan tersebut diadakan bersempena tamatnya tempoh perkhidmatan Yamashita di Sabah pada akhir Mac 2026 selepas berkhidmat selama dua tahun enam bulan. Turut mengiringi beliau ialah penggantinya, Nakasuji Hisaki.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai hubungan kerjasama antara Sabah dan Jepun, khususnya dalam bidang pelaburan, pelancongan, ekonomi serta pembangunan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Hajiji turut merakamkan penghargaan atas sumbangan Yamashita dalam memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama antara Jepun dan Sabah sepanjang tempoh beliau bertugas di negeri ini. Beliau juga berharap hubungan baik tersebut akan terus diperkasa pada masa hadapan, terutama dalam usaha menarik lebih ramai pelabur dan pelancong dari Jepun ke Sabah.




