Langkah Proaktif Pastikan Bekalan Bahan Api Mencukupi
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali di Menara Kinabalu pada 24 Mac 2026. Pertemuan tersebut membincangkan isu bekalan petrol dan diesel di Sabah berikutan kebimbangan kemungkinan berlaku kekurangan stok yang boleh menjejaskan pengguna serta sektor ekonomi negeri.
Armizan memberi jaminan bahawa kerajaan Persekutuan melalui KPDN sentiasa melaksanakan langkah proaktif bagi memastikan bekalan bahan api di Sabah kekal stabil dan mencukupi, termasuk melalui pemantauan rapi serta kerjasama berterusan dengan agensi berkaitan, khususnya bagi kawasan luar bandar dan sektor kritikal. Hajiji pula menekankan kepentingan bekalan bahan api yang konsisten untuk menyokong sektor utama negeri seperti logistik, perikanan dan pertanian yang bergantung kepada diesel.
Selain itu, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohd Salim Fateh Din yang membentangkan perkembangan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah serta inisiatif Bandar Pintar DBKK.




