Ketua Menteri Lantik Tan Sri Andrew Sheng Sebagai Penasihat Khas
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melantik Andrew Sheng sebagai Penasihat Khas beliau. Mengumumkan pelantikan itu, Hajiji berkata pengalaman luas serta kepakaran Sheng dalam bidang ekonomi dan kewangan akan menjadi aset penting kepada Sabah, khususnya dalam memperkukuh sektor ekonomi dan pelaburan negeri.
“Kami menantikan sumbangannya, terutama dalam memperkasa pembangunan ekonomi dan menarik pelaburan berkualiti,” katanya selepas pertemuan di Sri Gaya pada 27 Mac 2026.
Sheng, yang dibesarkan di Sabah pada awal 1960-an dan kini berpangkalan di Hong Kong, merupakan tokoh perbankan dan pengawal selia kewangan yang disegani di peringkat antarabangsa.
Beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Ekonomi dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Timbalan Ketua Eksekutif Hong Kong Monetary Authority, serta Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong.
Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengurus Kanan di World Bank dan kini merupakan Profesor Khas di Institut Kewangan, Universiti Cina Hong Kong (Shenzhen).
Sheng turut menganggotai beberapa majlis penasihat antarabangsa termasuk bagi Pentadbiran Pengawalseliaan Kewangan Nasional China, Suruhanjaya Sekuriti China dan Perbadanan Pelaburan China.
Pada April 2013, beliau telah disenaraikan oleh Time sebagai antara 100 individu paling berpengaruh di dunia.




