KM: Tiada Asas Tuntutan Manila ke atas Sabah
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa tiada asas bagi mana-mana pihak untuk menghidupkan semula tuntutan Manila ke atas Sabah.
Beliau berkata Sabah merupakan sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia dan perkara itu tidak sepatutnya dipertikaikan, apatah lagi dijadikan isu dengan mengaitkannya kepada situasi semasa.
“Tidak perlu menjadikan perkara ini sebagai isu atau menggunakan krisis tertentu untuk menghidupkan semula tuntutan lama,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada 28 Mac 2026.
Kira-kira 20,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat menghadiri majlis berkenaan yang turut diserikan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin, serta Ketua Menteri bersama isteri, Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag.
Terdahulu, Hajiji bersama isteri menyampaikan sumbangan duit raya kepada golongan asnaf sebelum beramah mesra dengan para tetamu. Beliau turut berharap keharmonian masyarakat terus dipelihara agar semua perayaan dapat diraikan dalam suasana aman dan sejahtera.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan hiburan termasuk penampilan penyanyi tanah air, Marsha Milan Londoh.




