Kerajaan Komited Laksana Pembangunan Menyeluruh

berita-sabahnews

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus melaksanakan pembangunan menyeluruh demi kesejahteraan rakyat. Beliau berkata keutamaan diberikan kepada pengukuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur serta peningkatan kemudahan kesihatan, pendidikan dan keselamatan.

“Bagi menjayakan agenda ini, penjawat awam perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, jujur dan berintegriti supaya setiap dasar dan inisiatif dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya pada Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri Sabah, pada 30 Mac 2026.

Menurutnya, agenda pembangunan negeri bagi penggal kedua akan terus dipandu oleh Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, sebagai kesinambungan kejayaan SMJ 1.0. “SMJ 2.0 menuntut perubahan berterusan dalam cara berfikir dan bekerja serta penciptaan nilai baharu untuk memastikan pembangunan yang mampan,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak agar menjunjung profesionalisme, disiplin dan integriti dalam melaksanakan tanggungjawab. Hajiji yakin tadbir urus berteraskan integriti mampu meningkatkan keyakinan pelabur, memperkukuh daya saing ekonomi serta mewujudkan persekitaran kondusif ke arah pembangunan mampan.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap kepimpinan dan naungan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri yang menjadi simbol perpaduan dan kestabilan Sabah.