Pesta Kaamatan, kekal wadah penting perkukuh perpaduan

berita-sabahMay 2026news

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata sambutan Pesta Kaamatan terus menjadi platform penting dalam memperkukuhkan perpaduan, memupuk semangat kebersamaan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan rakyat negeri ini. Beliau berkata, Pesta Kaamatan bukan sekadar sambutan warisan budaya, malah menjadi peluang untuk masyarakat menghayati nilai perpaduan, saling menghormati dan bekerjasama sebagai sebuah keluarga besar. Hajiji berkata demikian pada 9 Mei 2026 sempena sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman, Tuaran. Menurut beliau, tema sambutan tahun ini, “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, mencerminkan kepentingan perpaduan dalam masyarakat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa perpaduan dan kestabilan politik perlu terus dipelihara kerana ia menjadi asas kepada kemajuan dan pembangunan negeri.

Hajiji turut menjelaskan bahawa pembentukan Kerajaan Negeri baharu bagi penggal kedua pada November lalu akan meneruskan agenda pembangunan holistik menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, sebagai kesinambungan kepada dasar SMJ 1.0. Katanya, kejayaan pelaksanaan SMJ 1.0 membuktikan pentadbiran kerajaan berada di landasan yang tepat sejak lima tahun lalu. Beliau berkata, SMJ 2.0 menuntut perubahan berterusan dalam meningkatkan keupayaan diri, termasuk dari segi pemikiran, cara bekerja dan penciptaan nilai baharu demi memastikan pembangunan negeri terus berkembang. Dalam pada itu, Ketua Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus memperkukuh ekonomi melalui pemerkasaan sektor utama seperti pertanian, pelancongan, perindustrian dan ekonomi digital. Pada masa sama, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan menerusi peningkatan pendidikan, kemahiran dan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan.

Beliau turut menegaskan bahawa sambutan Pesta Kaamatan amat signifikan dalam usaha memartabatkan warisan budaya dan kesenian rakyat Sabah. Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa menyokong pelbagai sambutan kebudayaan dan keagamaan kerana program sedemikian mampu memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum. “Pesta Kaamatan bukan sahaja penting kepada masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus, malah turut diraikan oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya. Pada masa sama, Hajiji berharap rakyat tanpa mengira bangsa dan agama akan terus memelihara perpaduan, saling menghormati dan tidak mudah terpengaruh dengan unsur-unsur yang boleh menggugat keharmonian yang dinikmati selama ini. Beliau turut menyeru rakyat agar terus memberi sokongan kepada kerajaan demi memastikan lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke Sabah.

Ucapan Ketua Menteri itu disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.