Memperkukuh sokongan kepada pesakit HIV/AIDS
Kerajaan Negeri Sabah terus komited dalam memperkukuh sokongan kepada golongan memerlukan, khususnya pesakit HIV/AIDS yang berdepan pelbagai cabaran di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Menurut beliau, pendekatan menangani HIV/AIDS perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif agar bantuan serta perkhidmatan dapat sampai kepada semua komuniti di Sabah tanpa mengira lokasi. Beliau berkata usaha tersebut diperkasakan lagi melalui kepimpinan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Pelan Strategik Nasional Menamatkan AIDS 2030 (NSPEA2030), yang menjadi panduan utama dalam menyelaras respons negara terhadap HIV/AIDS. Seiring sasaran Malaysia untuk menamatkan AIDS menjelang tahun 2030, keutamaan terus diberikan kepada peluasan akses rawatan serta peningkatan pematuhan pesakit terhadap rawatan yang diterima.
Hajiji berkata demikian ketika berucap pada Majlis Minum Petang Red Ribbon Kota Kinabalu anjuran Yayasan AIDS Malaysia (MAF) di Hotel Hilton, Kota Kinabalu pada 17 Mei 2026. Menurut beliau, inisiatif yang bertujuan memperkukuh sistem sokongan kepada individu yang hidup dengan HIV/AIDS amat penting dan bertepatan dengan keperluan semasa. Walaupun rawatan dan penjagaan disediakan secara percuma oleh kerajaan, beliau berkata masih ramai individu rentan berdepan kesukaran dari segi kewangan dan logistik untuk mendapatkan rawatan secara konsisten, terutama golongan berpendapatan rendah serta masyarakat luar bandar.
Sehubungan itu, program seperti Sabah Health Access Programme (SHAPE) memainkan peranan penting sebagai pelengkap kepada inisiatif KKM seperti Differentiated HIV Services for Key Populations (DHSKP) dan perkhidmatan di klinik kesihatan terpilih di seluruh Sabah. Program-program berkenaan membantu memastikan golongan rentan dapat meneruskan rawatan dan penjagaan dengan lebih konsisten dan berkesan. Selain itu, bantuan yang disediakan seperti kos pengangkutan ke hospital dan klinik, elaun makanan serta keperluan asas harian turut membantu mengurangkan beban kewangan rakyat Sabah yang hidup dengan HIV/AIDS. Hajiji menegaskan bahawa walaupun bantuan sedemikian kelihatan kecil, ia amat penting dalam memastikan pesakit terus mendapatkan rawatan sambil menjalani kehidupan yang lebih stabil, bermaruah dan penuh harapan.
Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan memperkukuh usaha pencegahan dan pendidikan berkaitan HIV/AIDS, terutama susulan peningkatan jangkitan dalam kalangan golongan muda melalui penularan seksual. Menurutnya, stigma dan penyebaran maklumat tidak tepat juga perlu ditangani kerana ia masih menjadi penghalang utama kepada usaha menangani HIV/AIDS secara lebih berkesan. Beliau menyeru masyarakat supaya mendekati isu kesihatan awam dengan sikap lebih terbuka, berasaskan belas ihsan serta kefahaman yang berpandukan fakta dan bukti. Hajiji turut mengakui bahawa kerajaan tidak mampu menangani cabaran HIV/AIDS secara bersendirian kerana isu itu memerlukan kerjasama menyeluruh antara agensi kerajaan, institusi kesihatan, organisasi masyarakat sivil, pemimpin komuniti dan sektor swasta.
Dalam hal ini, beliau mengalu-alukan penglibatan lebih besar sektor korporat dalam menyokong inisiatif HIV/AIDS di Sabah. Katanya, penyertaan syarikat seperti PETRONAS, Sunway Group dan Sime Darby membuktikan bahawa tanggungjawab bersama dan tindakan kolektif mampu menghasilkan impak yang lebih mampan serta inklusif dalam menangani HIV/AIDS. Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Hanifah Hajar Taib, Penaung MAF Borneo, Jamilah Haji Anu serta Pengerusi MAF, Adeeba Kamarulzaman. Ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Caesar Mandela Malakun.




