Terminal Feri Jesselton Point Baharu Perkukuh Pelancongan Maritim Sabah

berita-sabahMay 2026news

Terminal Feri Jesselton Point yang dinaiktaraf kini menjadi antara prasarana strategik penting dalam memperkukuh industri pelancongan Sabah, khususnya sektor pelancongan pulau dan marin. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, terminal berkenaan mencatat peningkatan jumlah penumpang yang ketara pada tahun 2025 dengan seramai 552,369 pengguna berbanding 388,395 pada tahun sebelumnya. Beliau berkata, Terminal Feri Jesselton Point memainkan peranan besar dalam memperkasa produk pelancongan teras negeri terutama di Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya.

“Terminal ini menjadi penghubung utama kepada pelancongan berasaskan pulau dan marin yang merupakan antara kekuatan utama industri pelancongan Sabah,” katanya ketika teks ucapan beliau disampaikan pada majlis perasmian Terminal Feri Jesselton Point baharu pada 18 Mei 2026. Menurut beliau, penaiktarafan terminal itu dilaksanakan mengikut piawaian keselamatan antarabangsa selain diperkasa dengan penggunaan sistem digital dan operasi yang lebih moden, cekap dan sistematik. Pelaksanaan sistem tiket elektronik, pengurusan penumpang bersepadu serta penggunaan teknologi pintar mencerminkan transformasi ke arah terminal pintar yang lebih responsif dan mesra pengguna.

Hajiji berkata, terminal baharu itu diyakini mampu menampung peningkatan jumlah pelawat sejajar dengan pertumbuhan sektor pelancongan negeri yang merekodkan 3.8 juta pelawat pada tahun 2025, meningkat lebih 20 peratus berbanding tahun sebelumnya dan menjana hasil pelancongan sebanyak RM8.7 bilion. Beliau berkata, sejak lebih 20 tahun lalu, Terminal Feri Jesselton Point telah menjadi laluan utama ke pulau-pulau peranginan di Taman Tunku Abdul Rahman yang terkenal sebagai antara aset pelancongan utama Sabah. Terminal tersebut menghubungkan pelawat ke pulau-pulau seperti Manukan, Gaya, Sapi dan Mamutik sekali gus mengukuhkan peranan Kota Kinabalu sebagai hab pelancongan maritim utama negara.

Menurutnya, kemudahan terminal yang lebih selesa dan moden akan meningkatkan keyakinan pelancong domestik serta antarabangsa untuk melawat destinasi pelancongan pulau di sekitar ibu negeri. Perkembangan itu secara langsung dijangka merancakkan ekonomi setempat, membuka lebih banyak peluang perniagaan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat.Beliau turut yakin pembangunan terminal baharu itu mampu membantu Sabah mencapai sasaran lebih empat juta pelancong pada tahun 2026, selaras dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026. Katanya, pembangunan infrastruktur tersebut juga memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab pelancongan maritim utama di rantau ASEAN.

Hajiji berkata, projek pembangunan terminal ini selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0 yang memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi berimpak tinggi, pembangunan ekonomi biru dan pelancongan mampan sebagai pemacu utama kemajuan negeri. “Kerajaan negeri komited memastikan setiap pembangunan dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan mengambil kira pemeliharaan alam sekitar serta kesejahteraan komuniti setempat supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh,” katanya. Selain itu, terminal feri berkenaan turut menjadi sebahagian daripada pembangunan Jesselton Waterfront City bernilai kira-kira RM9.2 bilion yang dijangka membentuk landskap baharu pesisir Kota Kinabalu sebagai destinasi bertaraf dunia. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Suria Capital Holdings Berhad dan anak syarikatnya, Suria Bumiria Sdn Bhd atas komitmen menjayakan projek pembangunan terminal feri tersebut. Menurutnya, kerjasama erat antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta amat penting dalam merealisasikan agenda pembangunan Sabah.

Teks ucapan Ketua Menteri itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick.