Tongod Terus Dipacu ke Arah Pembangunan Menyeluruh
Kerajaan negeri kekal komited memajukan kawasan pedalaman menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), termasuk memastikan daerah Tongod terus menikmati arus pembangunan negeri. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sepanjang tahun 2025 hingga pertengahan 2026, Tongod menunjukkan perkembangan ketara dalam pelbagai aspek seperti infrastruktur, ekonomi, pendidikan dan pelancongan lestari.
Menurut beliau, kerajaan memberi keutamaan kepada pembangunan jaringan jalan raya yang menghubungkan Tongod dengan daerah lain seperti Keningau, Telupid, Sandakan dan Tawau bagi memudahkan pergerakan rakyat serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat. Katanya, Tongod memiliki keluasan tanah yang besar dan berpotensi tinggi untuk dimajukan dalam sektor pertanian moden. Sehubungan itu, kerajaan menyediakan pelbagai insentif untuk membantu rakyat beralih daripada pertanian sara diri kepada pertanian komersial yang mampu meningkatkan taraf hidup.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tongod Tahun 2026 pada 20 Mei 2026 di Tongod. Dalam ucapannya, Hajiji turut menegaskan bahawa pembangunan modal insan di kawasan pedalaman terus diberi perhatian khusus melalui pelaburan dalam pendidikan dan latihan kemahiran bagi melahirkan generasi muda yang berdaya saing. “Kita mahu anak-anak muda Tongod memanfaatkan peluang pendidikan dan latihan kemahiran kerana mereka merupakan aset penting kepada masa depan negeri,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Tongod mempunyai khazanah alam semula jadi yang bernilai tinggi termasuk Kawasan Konservasi Kanyon Imbak yang berpotensi menjadi destinasi eko-pelancongan utama Sabah. Kedudukan Tongod di tengah-tengah Sabah juga menjadikan daerah itu dikenali sebagai “The Heart of Sabah” yang menghubungkan wilayah utara, selatan, timur dan barat negeri ini. Hajiji berkata pembangunan sektor pelancongan perlu dilaksanakan secara seimbang dengan usaha memelihara budaya dan alam sekitar, termasuk memperkasa produk tempatan seperti kraftangan, makanan tradisi dan inap desa yang diusahakan masyarakat setempat. Menurutnya, keseimbangan antara pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar amat penting bagi menjamin kemampanan ekonomi Tongod untuk jangka panjang.
Mengulas isu bekalan air di Tongod, beliau berkata masalah itu akan ditangani melalui projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) menggunakan peruntukan yang disalurkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kepada kerajaan negeri. Katanya, kuasa pelaksanaan projek tersebut telah diserahkan kepada kerajaan negeri pada April 2026 dengan lebih RM4 bilion diperuntukkan KKDW bagi tahun ini. Menyentuh sambutan Kaamatan pula, Hajiji berkata perayaan itu bukan sahaja melambangkan kesyukuran terhadap hasil tuaian, malah menjadi platform penting untuk memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sabah sejajar dengan tema “Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”. Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa projek pembangunan pekan baharu Tongod akan dilaksanakan oleh sebuah syarikat swasta di atas tanah milik mereka sendiri termasuk pembinaan pejabat kerajaan. Pada majlis sama, Ketua Menteri turut menyerahkan 239 geran tanah NT melibatkan keluasan keseluruhan 583.38 hektar (1,441.57 ekar) kepada penduduk Tongod. Daripada jumlah itu, sebanyak 199 geran merupakan NT biasa melibatkan keluasan 500.09 hektar (1,235.75 ekar), manakala 40 geran deraf PANTAS melibatkan tujuh mukim dengan keluasan 83.29 hektar (205.82 ekar).




