Sabah catat penurunan jumlah penagih dadah pada 2025

berita-sabahJune 2026news

Sabah merekodkan penurunan 5.9 peratus jumlah penagih yang dikesan pada tahun 2025, iaitu 8,665 orang berbanding 9,607 orang pada tahun sebelumnya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Beliau berkata, Sabah turut mencatat kadar penagih dan penyalah guna dadah terendah di negara ini pada tahun 2025 dengan kadar 230 orang. Menurutnya, pencapaian itu membuktikan keberkesanan kerjasama pelbagai agensi dalam usaha membendung masalah dadah di negeri ini.

Ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Sabah di Menara Kinabalu pada 15 Jun 2026, Hajiji turut memuji usaha Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang giat melaksanakan program pencegahan sehingga ke peringkat komuniti. Beliau juga menghargai inisiatif AADK mendekati masyarakat di Pulau Banggi melalui Program Jerayawara Jelajah Aspirasi Bebas Dadah bersama Skuad Antidadah 2 Roda. Selain itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah atas kejayaan merampas sejumlah besar dadah baru-baru ini, sekali gus menunjukkan komitmen berterusan dalam membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah.

Hajiji menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha memerangi dadah demi menjamin keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Sabah. Beliau berkata usaha tersebut selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dan matlamat mencapai Dadah Terkawal 2030. Mesyuarat MTMD Sabah turut membincangkan cadangan memperluaskan program Tempat Kerja Bebas Dadah di sektor awam.