RM339.16 Juta Diperuntukkan Bagi Program SYUKUR tahun 2026

berita-sabahJune 2026news

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan Negeri meneruskan pelaksanaan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) pada tahun 2026 dengan peruntukan sebanyak RM339.16 juta sebagai antara inisiatif utama dalam agenda pembasmian kemiskinan Sabah. Beliau berkata, program itu telah distruktur semula dengan pemberian bantuan sebanyak RM200 sebulan kepada penerima yang layak sebagai pelengkap kepada bantuan Kerajaan Persekutuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan bantuan kewangan lain.

Menurutnya, penstrukturan semula tersebut membolehkan jumlah penerima ditingkatkan daripada 100,000 orang pada tahun lalu kepada 140,000 penerima pada tahun ini. “Langkah ini memastikan lebih ramai rakyat Sabah mendapat manfaat daripada bantuan yang disediakan kerajaan,” katanya ketika melancarkan Program Outreach Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman, Tuaran pada 16 Jun 2026.

Hajiji berkata, pembayaran bantuan dibuat secara berfasa dengan setiap penerima menerima bayaran sekaligus RM600 bagi tempoh tiga bulan, sama ada melalui kredit terus ke akaun bank atau secara tunai bagi mereka yang tidak mempunyai akaun. Beliau berkata, pembayaran Fasa 1 telah mula disalurkan kepada penerima yang layak pada 11 Mac 2026, manakala pembayaran Fasa 2 secara dalam talian mula dikreditkan ke akaun penerima pada 23 Mei 2026.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa pembayaran tunai SYUKUR Fasa 2 bagi agihan pertama akan dilaksanakan bermula 18 hingga 23 Jun 2026 melibatkan seramai 17,848 penerima di seluruh Sabah. “Setiap penerima akan menerima RM600 secara sekaligus bagi tempoh April hingga Jun 2026,” katanya. Beliau berharap bantuan yang disalurkan itu dapat digunakan sebaiknya bagi memenuhi keperluan asas keluarga, perbelanjaan pendidikan anak-anak serta kos sara hidup yang semakin mencabar.