KM Seru Koperasi Berani Berubah, Teroka Sektor Baharu
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru gerakan koperasi di Sabah agar berani melakukan transformasi perniagaan dengan mempelbagaikan sumber pendapatan serta meneroka sektor baharu yang berpotensi memberi manfaat kepada anggota, komuniti dan ekonomi negeri. Beliau berkata, dalam persekitaran ekonomi dan teknologi yang semakin mencabar, koperasi tidak boleh lagi bergantung kepada model perniagaan tradisional semata-mata, sebaliknya perlu terus berinovasi bagi mengekalkan daya saing dan memastikan pertumbuhan mampan.
Menurutnya, transformasi perniagaan membolehkan koperasi menembusi pasaran baharu, memenuhi keperluan anggota dan pelanggan serta memanfaatkan peluang ekonomi yang muncul selaras dengan perubahan semasa. “Kerajaan Negeri menggalakkan koperasi memperkukuh tadbir urus, memperluaskan bidang perniagaan dan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan. Saya yakin gerakan koperasi akan terus relevan jika sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan keperluan semasa,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Ke-49 Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) serta melancarkan akhbar komuniti Kinabalu Media di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada 18 Jun 2026.
“Walaupun media digital berkembang pesat, penerbitan bercetak masih relevan dalam menyediakan laporan yang lebih mendalam, analisis berkualiti dan dokumentasi isu semasa. Kerajaan Negeri melihat media sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri dan menjayakan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0,” katanya. Mengenai sektor kesihatan, Hajiji berkata pengambilalihan beberapa klinik swasta oleh KOPEKS membolehkan ahli menikmati rawatan pada kos berpatutan, sekali gus membuktikan koperasi mampu memainkan peranan lebih besar dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Saya berharap pusat dialisis yang bakal diwujudkan dapat menawarkan caj berpatutan bagi membantu meringankan beban pesakit,” katanya. Hajiji turut menyifatkan langkah KOPEKS meneroka bidang import dan eksport, khususnya ke Brunei Darussalam, sebagai strategi tepat untuk memperluaskan pasaran produk tempatan, membuka peluang perdagangan rentas sempadan dan mengukuhkan kerjasama serantau. Beliau berkata, usaha itu selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi yang inklusif, mampan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
Pada masa sama, beliau menggalakkan lebih ramai penjawat awam, khususnya generasi muda, menyertai KOPEKS bagi memperkukuhkan kedudukannya sebagai model koperasi berjaya yang bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan anggota, malah menyumbang kepada pembangunan Sabah secara keseluruhan.




