Pelan Tindakan Bioteknologi Sabah Perkukuh Pemuliharaan Biodiversiti dan Bioekonomi
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan Negeri terus memperkukuh tadbir urus biodiversiti, agenda bioekonomi dan pembangunan bioteknologi menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Bioteknologi Sabah 2024–2034.
Beliau berkata pelan tindakan itu menjadi kerangka strategik negeri dalam memanfaatkan kekayaan biodiversiti Sabah secara mampan berasaskan sains bagi menjana nilai tambah ekonomi, memperkasa penyelidikan dan inovasi serta membangunkan industri bioteknologi yang berdaya saing.
Katanya, pelaksanaan pelan itu turut menghubungkan usaha pemuliharaan biodiversiti dengan pembangunan sosioekonomi, selain memastikan sumber biologi dan pengetahuan tradisi dimanfaatkan secara lestari demi manfaat rakyat Sabah.
Berucap pada Majlis Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah 2026 sempena Sambutan Hari Biodiversiti Sedunia Peringkat Sabah di Kota Kinabalu pada 30 Jun 2026, Hajiji berkata Sabah terus mengukuhkan tadbir urus biodiversiti melalui pendigitalan sistem pengurusan dan perlindungan pengetahuan tradisi.
Beliau berkata Sabah turut memperluaskan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) sebanyak kira-kira 216,000 hektar, menjadikan keluasan TPA negeri meningkat kepada 2.227 juta hektar atau 30.06 peratus daripada keluasan tanah Sabah, sekali gus memenuhi sasaran rangka kerja biodiversiti global menjelang 2030.
Menurutnya, Sabah terus menjadi hab penyelidikan biodiversiti bertaraf dunia menerusi kawasan DaMaI (Danum-Maliau-Imbak), manakala peningkatan permohonan Lesen Akses Sumber Biologi membuktikan pengiktirafan Sabah sebagai pusat penyelidikan biodiversiti utama di rantau ini.
Hajiji turut berkata kejayaan memeterai Perjanjian Perkongsian Faedah (Benefit Sharing Agreement) pertama pada September 2025 melibatkan penggunaan teknologi fitoekstraksi nikel mencerminkan potensi besar bioekonomi Sabah, yang mampu membuka peluang pekerjaan, merangsang ekonomi tempatan serta menarik lebih banyak pelaburan dan penyelidikan antarabangsa.
Beliau berkata Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah diperkenalkan sebagai pengiktirafan kepada penyelidik tempatan dan antarabangsa yang menyumbang kepada kemajuan penyelidikan dan pemuliharaan biodiversiti negeri.
Ucapan beliau disampaikan oleh Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam,Timbalan Ketua Menteri I/Menteri Kerja Raya dan Utiliti.



