Kerajaan Negeri Usaha Tambah Baik Pelaksanaan Subsidi Diesel di Sabah
Kerajaan Negeri sedang mengadakan libat urus dengan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan agensi Persekutuan berkaitan bagi meneliti mekanisme penambahbaikan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar di Sabah yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata mesyuarat susulan antara agensi Kerajaan Negeri, MOF dan agensi Persekutuan berkaitan akan diadakan pada 17 Julai 2026 bagi membincangkan isu berkenaan.
Katanya, peluasan pelaksanaan subsidi diesel bersasar ke Sabah turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Julai 2026.
“Kerajaan Negeri mengambil perhatian serius terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak. Sehubungan itu, MOF dan agensi kerajaan berkaitan telah diarahkan supaya memperincikan isu berkenaan serta meneliti cadangan bersesuaian bagi menangani permasalahan yang dihadapi golongan terkesan,” katanya. Mesyuarat susulan itu akan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.




