Menghargai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mencadangkan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) mempertimbangkan pewujudan Galeria atau Mini Muzium Penjawat Awam yang memfokuskan sejarah dan legasi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN). Beliau berkata galeria itu boleh mempamerkan dokumen, teks ucapan, memorabilia, rekod pencapaian serta sumbangan setiap mantan SKN sebagai bahan rujukan sejarah dan pembangunan perkhidmatan awam.
“Galeria ini juga boleh menjadi pusat sumber kepada pelajar dari peringkat sekolah menengah hingga institusi pengajian tinggi,” katanya pada Majlis Sanjungan Budi Tautan Legasi sempena persaraan mantan SKN Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong di Kota Kinabalu pada 24 Julai 2026.
Hajiji berkata jawatan SKN merupakan kedudukan tertinggi dalam perkhidmatan awam negeri, dengan Sabah telah mempunyai 11 orang SKN sejak merdeka. Beliau turut memuji sumbangan Safar sepanjang enam tahun tujuh bulan 24 hari menerajui perkhidmatan awam negeri, khususnya dalam meningkatkan kecekapan pentadbiran serta memperkenalkan inisiatif Smart Digital Government. Safar kini dilantik sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED), selaras dengan pengalaman luas beliau dalam pentadbiran, pengurusan dan pembangunan tanah.




