Projek Air Baharu Dijangka Mula Bekalkan Air Hujung 2026
Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon berkapasiti 80 juta liter sehari (MLD) dan loji muka sauk baharu di Kabang, Papar dijangka mula beroperasi pada November dan September 2026, sekali gus membantu mengatasi masalah bekalan air di Papar, Putatan dan Kimanis.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Jabatan Air Sabah perlu lebih proaktif menangani gangguan bekalan air di Papar dan seluruh negeri.
"Masalah bekalan air merupakan isu legasi, namun sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kita komited untuk menyelesaikannya,” katanya selepas menerima taklimat mengenai kedua-dua projek di Langkah Syabas Resort, Lok Kawi pada 28 Julai 2026.
Pengarah Jabatan Air Sabah, Chee Chun Chieh berkata LRA Kogopon bernilai RM365.9 juta dijangka mula membekalkan air pada November 2026, walaupun keseluruhan projek dijadualkan siap sepenuhnya pada 2028.
Sementara itu, loji muka sauk Kabang bernilai RM39.73 juta yang kini 90 peratus siap dijangka beroperasi pada September 2026, dengan kapasiti meningkat daripada 9 MLD kepada 30 MLD.
Loji baharu itu dibina lebih jauh di hulu Sungai Papar bagi mengurangkan masalah kemasinan air yang sering menjejaskan operasi kemudahan bekalan air sedia ada.




