Pengukuhan Sektor Tenaga Jadi Agenda Strategik Sabah
Kerajaan Negeri akan terus mengutamakan pengukuhan sektor tenaga sebagai agenda strategik bagi memastikan bekalan elektrik Sabah kekal mencukupi, stabil, berdaya harap dan mampu milik, di samping membangunkan sistem tenaga yang lebih cekap dan mampan. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040) menjadi hala tuju pembangunan sektor tenaga negeri, dengan fokus kepada keselamatan tenaga, kepelbagaian sumber dan peningkatan penggunaan tenaga boleh baharu.
Beliau berkata demikian dalam ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, pada majlis pelancaran Tenaga Lestari Rakyat Sabah di Pacific Sutera Resort, Kota Kinabalu pada 30 Julai 2026. Majlis itu dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) atas usaha memacu pembangunan sektor tenaga melalui pendekatan progresif. Beliau menyifatkan pelancaran Sabah Energy Efficiency Action Plan (SEEAP) dan Program Solar Rakyat Sabah sebagai langkah penting ke arah merealisasikan aspirasi tenaga lestari negeri. Menurut beliau, pelbagai inisiatif seperti pengiktirafan projek solar, program Government Lead by Example, kerjasama dengan institusi latihan, pembangunan usahawan bersama INSKEN serta program tanggungjawab sosial korporat membuktikan pembangunan tenaga lestari memerlukan kerjasama semua pihak.
Katanya, kerajaan juga mahu memperluaskan penggunaan tenaga boleh baharu, menggalakkan inovasi, pelaburan dan pembangunan industri tenaga bernilai tinggi. Beliau menegaskan bahawa peralihan tenaga bukan hanya melibatkan teknologi, tetapi turut merangkumi dasar, pelaburan, pembangunan modal insan, penyelidikan, inovasi serta kerjasama erat antara kerajaan, industri, institusi pendidikan dan masyarakat. Hajiji berkata, kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan Persekutuan, ECoS, pemain industri, pelabur dan pihak berkepentingan bagi memastikan Sabah memiliki sistem tenaga yang mampan dan mampu menyokong pembangunan negeri untuk jangka panjang.




