SMJ 2.0 Perkukuh Agenda Pembangunan Sabah

berita-sabahnews

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh agenda pembangunan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi membina Sabah yang lebih maju, berdaya saing dan sejahtera, selaras dengan tema Hari Kebangsaan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati.”

Beliau berkata SMJ 2.0 memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi mampan, pemerkasaan modal insan, peningkatan produktiviti, inovasi, teknologi dan pembangunan inklusif supaya manfaatnya dapat dinikmati seluruh rakyat Sabah. Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Sabah dan Kempen Kibar Bendera di Menara Kinabalu.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri juga akan meneruskan pelbagai inisiatif dalam pendidikan, kebajikan, perumahan, kesihatan, pembangunan luar bandar, pemerkasaan wanita dan belia serta penyediaan kemudahan asas yang lebih berkualiti. Beliau yakin semangat kebersamaan, tadbir urus berintegriti, kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dan sokongan rakyat mampu membawa Sabah ke tahap lebih maju, sambil menegaskan kejayaan sebenar kerajaan diukur melalui manfaat pembangunan yang dinikmati rakyat.

Beliau turut menyeru rakyat menghayati erti kemerdekaan, memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab dengan menyebarkan maklumat yang sahih, serta mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang patriotisme, perpaduan dan komitmen membina masa depan Sabah yang lebih cemerlang.